Pilih Bahasa

Kerajaan Sedia RM30 Juta Dana Galakan Eksport Bumiputera

Madiyem (kanan) mendengar taklimat daripada salah seorang pempamer yang juga peserta kursus. Gambar SNT/Ehsan Jabatan Penerangan Sabah

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perindustrian Sabah, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata sejumlah RM30 juta dana disediakan kerajaan untuk program Galakan Eksport Bumiputera (GEB) bagi membantu Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), pada tahun ini

Di Sabah, melalui Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SME Corp.), jumlah PKS yang berdaftar ialah 56,238 orang dengan RM 295.63 juta geran dan pinjaman mudah telah disalurkan kepada 454 PKS di Sabah, katanya pada majlis perasmian Siri Latihan dan Promosi Program GEB 2018 di Kompleks Tabung Haji Sembulan dekat sini, pada Selasa.

Madius dalam ucapannya yang disampaikan oleh Setiausaha Tetap Kementerian Perdagangan dan Perindustrian, Datuk Madiyem Layapan berkata kerjasama di antara Kerajaan Negeri dan SME Corp Malaysia hendaklah diperkukuh bagi membangunkan PKS di Sabah hingga ke pasaran eksport.

CENDERAHATI…..Mohd Izham menyampaikan meyampaikan cenderamata kepada Madiyem (dua dari kanan) sambil diperhatikan Muhd Hamdi (kiri). Gambar SNT/Ehsan Jabatan Penerangan

“Usahawan di negeri ini harus mengambil peluang yang disediakan untuk lebih berdaya saing dan meluaskan pasaran.

“Mereka juga perlu menjalani penilaian Konsep Penarafan Daya Saing (SCORE) bagi mengenalpasti tahap peniagaan untuk penyaluran bantuan yang bersesuaian,” katanya.

“Pada tahun ini, sebanyak 29 permohonan telah diluluskan dengan nilai geran dan pinjaman yang berjumlah RM33.88 juta.

“Agensi-agensi negeri yang berkaitan hendaklah berkerjasama dengan SME Corp. Malaysia dan MATRADE dalam menganjurkan program khusus untuk membawa PKS Sabah ke tahap export-ready,” katanya.

Madius turut mengharapkan para peserta dapat menambah ilmu pengetahuan keusahawan dalam mengembang serta meningkatkan produktiviti perusahaan sehingga peringkat global.

Kursus dua hari yang akan berakhir esok melibatkan seramai 100 peserta terdiri daripada pemain-pemain industri PKS di seluruh negeri Sabah dan turut dihadiri Pengarah Pembangunan Perniagaan Bumiputera, SME Corp. Malaysia, Mohd Izham Abdullah serta Pengarah SME Corp Sabah, Muhd Hamdi Salleh.-SabahNewsToday/Jabatan Penerangan Sabah