Pilih Bahasa

76 MESIN PENGIMBAS BAKAL DITEMPATKAN DI PELABUHAN DAN LAPANGAN TERBANG SABAH

Oleh Mohd Adam Arinin

Ketua Pengarah JKDM Datuk Subromaniam Tholasi (kanan) bersama Arunarnsin, Madrim serta peserta kayuhan amal JKDM berlepas memulakan kayuhan di Padang Merdeka. -Gambar SNT/Mohd Adam Arinin


KOTA KINABALU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) akan menempatkan sebanyak 76 buah mesin pengimbas yang akan digunakan di pelabuhan dan lapangan terbang seluruh negara.

Ketua Pengarah JKDM Datuk Subromaniam Tholasi berkata mesin terbabit mampu mempercepatkan proses pemeriksaan jabatannya terutama di kawasan pelabuhan.

“Ia kini dalam proses pemerolehan. Kesemua 76 buah mesin pengimbas ini akan berfungsi untuk mengimbas secara langsung tanpa membuka kontena atau bungkusan bagi pemeriksaan kandungan di dalamnya.

“Keupayaan ini bukan sahaja boleh mempercepatkan proses pemeriksaan malah membantu pegawai kastam mengenalpasti sekiranya berlaku sebarang penyeludupan barangan atau barangan yang dikenakan cukai,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan pelepasan kayuhan amal Kastam di Padang Merdeka di sini hari ini.

Turut hadir Pembantu Menteri Belia dan Sukan Negeri, Arunarnsin Taib dan Timbalan Pengarah JKDM Sabah, Datuk Madrim Tasan.

Menurut Subromaniam, Sabah bakal menerima tujuh buah mesin pengimbas yang akan ditempatkan di Pelabuhan Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau.

“Kita juga akan menempatkan mesin pengimbas di lapangan terbang untuk memeriksa bagasi serta pemeriksaan badan penumpang,” katanya.

Pada November tahun lalu Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan JKDM perlu menjalankan pemeriksaan secara menyeluruh terhadap barangan yang dibawa masuk ke negara ini dan bukan secara rawak.

Dalam pada itu hasil kutipan dari acara amal itu akan disumbangkan kepada Sekolah Pendidikan Khas Kurnia Kasih di sini.

“Kita berjaya mengumpul kita-kira RM60,000 menerusi acara yang disertai lebih 1,000 peserta,” katanya. – SabahNewsToday