Pilih Bahasa

77 PERATUS MENOLAK KEMASUKAN BERSATU KE SABAH

Oleh Sabah News Today

KOTA KINABALU: Hasil undian online Sabah News Today mengenai kemasukan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ke Sabah mendapati lebih ramai menentang daripada bersetuju.

Lebih kurang 77 peratus atau 2,600 pembaca menyatakan tidak setuju manakala hanya 783 pembaca atau 23 peratus bersetuju daripada 3,400 undian diterima.

Tun Dr. Mahathir Mohamad. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Pada minggu lalu, Pengerusi Bersatu Tun Dr Mahathir Mohamed mengumumkan bahawa parti itu akan melebarkan sayapnya ke Sabah.

Tun Mahathir yang juga Perdana Menteri, berkata keputusan itu dibuat selepas anggota Umno Sabah yang bertindak keluar parti tidak mahu menyertai Parti Warisan Sabah (Warisan) yang merupakan sekutu Pakatan Harapan (PH).

Sambil berkata penubuhan Bersatu Sabah akan dibuat secepat mungkin, Tun Mahathir bagaimanapun menegaskan wujudnya Bersatu di Sabah bukan untuk mencabar atau menentang Warisan yang diketuai oleh Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Keahlian Bersatu terbuka kepada semua kecuali mereka daripada parti komponen PH iaitu DAP, PKR dan Amanah serta sekutunya Warisan.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Dalam pada itu, Warisan selama ini berkeras mahukan Bersatu menghormati janji semasa Pilihanraya Umum ke-14 untuk tidak masuk ke Sabah.

Setelah pengumuman Tun Mahathir, Warisan mengambil masa tiga hari sebelum membuat kenyataan rasmi mengenainya.

Mohd Shafie membaca daripada kenyataan yang disediakan lebih awal dalam sidang akhbar di pejabatnya di Dewan Undangan Negeri berkata Warisan tidak boleh menghalang Bersatu atau mana-mana parti pun mengembangkan sayap ke Sabah.

“Kita juga mempunyai undang-undang yang membenarkan pembentukan parti baharu. Bagaimanapun Warisan akan tetap berpegang teguh kepada pendirian dan hala tuju parti,” ujarnya.

Jelas beliau lagi Warisan pernah bekerja dengan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini dan selepas pilihan raya, justeru kerjasama itu kekal dan bersama-sama membentuk Kerajaan Persekutuan.

Beliau turut menggesa para penyokong Warisan untuk bertenang dan jangan emosi dengan perkembangan terbaharu itu.

Datuk Seri Hajiji Noor. Gambar Fail SNT

Pendirian beliau diterima baik oleh bekas Ketua Umno Sabah Datuk Seri Hajiji Noor yang menyatakan ini membuktikan Mohd Shafie merupakan seorang pemimpin yang matang, berpengalaman dan ingin melihat rakyat Sabah bersatu padu tanpa mengira suku kaum.

Hajiji serta rakan-rakan wakil rakyat yang keluar daripada Umno dikhabarkan akan menyertai Bersatu.

Beliau dijangka membuat pengumuman mengenai perkara tersebut sekembalinya daripada mengerjakan umrah Sabtu ini.

Parti politik lain termasuk DAP dan PKR di Sabah kebanyakannya pula menyatakan ketidakpuasan hati malah ada yang terkejut dengan tindakan Bersatu itu.

Datuk Seri Dr Maximus Ongkili. Gambar Fail SNT

Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berpendapat walaupun PBS tidak menerima kemasukan Bersatu ke Sabah tetapi itulah hak parti tersebut di dalam negara yang mengamalkan demokrasi.

Dengan terungkainya teka teki kemasukan Bersatu kini timbul pula persoalan baharu iaitu siapa bakal mengetuai Bersatu Sabah.

Oleh itu teruskan bersama dengan Sabah News Today bagi mendapatkan jawapan kepada kesemua persoalan ini.-SabahNewsToday