Pilih Bahasa

80 peratus muka baharu sertai Sugandoi Kaamatan Negeri 2019

Oleh Alfred Petrus

Peserta yang menyertai Sugandoi Kaamatan 2019. – Gambar SNT/Ihsan Sugandoi Kaamatan Negeri

PENAMPANG: Kira-kira 80 peratus peserta yang terdiri daripada muka baharu akan menyertai Pertandingan Sugandoi Kaamatan Peringkat Negeri 2019.

Pertandingan kali ini tambah menarik apabila bakat anak muda Kadazandusun dan Murut (KDM) seluruh Sabah serta beberapa kawasan dari semenanjung dan Labuan akan berentap di pusingan suku akhir pada esok (25 Mei).

Sepanjang sesi pendaftaran hari ini yang bermula pada pukul 10 pagi itu, seramai 64 peserta mengesahkan penyertaan ke peringkat negeri.

Seorang peserta dari Dun Petagas akan mendaftar pada pertandingan suku akhir disebabkan pertandingan Sugandoi Kaamatan di peringkat Dun terbabit berjalan pada hari yang sama pertandingan suku akhir negeri.

Lima peserta akhir Sugandoi Dazanak yang bakal berentap pada 26 Mei ini. – Gambar SNT/Ihsan Sugandoi Kaamatan Negeri

Penganjuran pertandingan Sugandoi Kaamatan tahun ini dengan pembaharuan dari segi bilangan penyertaannya mengikut kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) sudah pasti akan memberikan lebih saingan dengan penyertaan seramai 65 peserta termasuk Pulau Pinang, Putrajaya, Lembah Klang, Johor dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Kesemua peserta akan berentap di pusingan suku akhir pada 25 Mei melalui dua peringkat yang mana peringkat pertama, seramai 30 peserta akan bertanding bermula pukul 9 pagi.

Seterusnya 35 peserta lain akan berentap bermula pukul 2 petang di pentas terbuka Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA).

65 peserta Sugandoi Kaamatan ini menunjukkan bakat masing-masing melalui dua buah lagu KDM yang mana salah satunya adalah lagu-lagu Songkotoun bagi merebut 30 tempat ke pentas separuh akhir yang akan diadakan pada 26 Mei.

Dalam perkembangan lain, seramai lima orang peserta akhir pertandingan Sugandoi Dazanak akan berentap pada pada 26 Mei bermula pukul 4 petang.

Kelima-lima peserta Sugandoi Dazanak mewakili daerah Kota Kinabalu, Penampang (dua peserta), Kudat dan Sandakan. – SabahNewsToday