Pilih Bahasa

80 usahawan luar bandar Sabah aktif dalam perniagaan

KOTA KINABALU, 1 Mei (Bernama) — Sejumlah 80 daripada lebih 150 usahawan di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah aktif dalam menjalankan perniagaan dan memasarkan produk keluaran masing-masing.

Ketua Bahagian Keusahawanan Industri Desa KPLB Sabah Felicia Sindan berkata usahawan luar bandar yang tidak aktif adalah antara mereka yang belum dapat menghasilkan mahupun mengeluarkan produk secara tetap.

Antara produk usahawan luarbandar yang dipamerkan. Gambar SNT/Ihsan KPLB

Felicia berkata kementerian itu pada tahun ini akan melaksanakan beberapa kursus, termasuk anyaman ribu-ribu dan jahitan baju tradisional bagi meningkatkan lagi kemahiran usahawan luar bandar sedia ada, selain menarik peserta baharu untuk mempelajari teknik berkenaan.

“Kursus spa juga akan dilaksanakan, dan ia merupakan kesinambungan daripada program pembangunan usahawan desa yang menjalankan perniagaan inap desa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Antara usahawan yang mempamerkan barangan mereka. Gambar SNT/Ihsan KPLB

Sementara itu, Felicia berkata seramai 26 usahawan KPLB Sabah hari ini menyertai pameran dan jualan sempena pelancaran Pesta Kaamatan peringkat negeri di Dataran Bengkoka, Pitas, Kota Marudu.

Beliau berkata kesemua usahawan luar bandar itu telah menyertai pameran jualan berkenaan sejak 29 April lepas, dengan pelbagai produk dipasarkan termasuk manik, tenunan, anyaman ribu-ribu dan kuih tradisional.

Felicia (tengah) bersama pegawai KPLB. Gambar SNT/Ihsan KPLB

Penyertaan usahawan luar bandar dalam program seumpama itu akan dapat membantu mempromosi produk, seterusnya meningkatkan pendapatan mereka, katanya.

— BERNAMA