Pilih Bahasa

800 hektar kawasan untuk usaha rumpai laut, ternak ikan dalam sangkar

Oleh Nasrawati Syarifuddin

TAWAU: Dianggarkan lebih 800 hektar kawasan di daerah ini boleh dipohon oleh orang ramai untuk menjalankan perusahaan rumpai laut dan penternakan ikan dalam sangkar.

Penguasa Perikanan Daerah Tawau, Rendy Fazhrin Sairin berkata daripada jumlah itu, hanya 1,000 petak sangkar berbaki untuk penternakan ikan manakala selebihnya adalah untuk aktiviti penanaman rumpai laut.

Difahamkan masih ada 1,000 petak sangkar ikan lagi yang boleh dipohon untuk orang ramai yang berminat dalam industri penternakan ikan dalam sangkar. Gambar SNT / Nasrawati Syarifuddin

Katanya empat kawasan sudah dikenalpasti oleh pihaknya iaitu Kuala Merotai, Sungai Umas-Umas, Sungai Balung Inderasabah dan sempadan Malaysia Indonesia.

“Kita sudah buka kawasan berkenaan sejak 2010 dan terdapat tujuh pengusaha giat menjalankan aktiviti ternakan ikan berkenaan.

Penguasa Perikanan Daerah Tawau, Rendy Fazhrin Sairin (tengah) dan Ketua Pegawai Perhubungan Setiausaha Politik, Fung Thien Yein (kiri) ditemui selepas lawatan ke kawasan penternakan ikan dalam sangkar dan rumpai laut. Gambar SNT / Nasrawati Syarifuddin

“Untuk rumpai laut pula, terdapat 1,200 hektar dan sekarang ini baru 25 peratus diusahakan. Jadi ada lagi 75 peratus kawasan yang boleh diusahakan dan dipohon oleh penternak yang berminat,” katanya ketika ditemui selepas menjalankan lawatan ke kawasan penternakan ikan dalam sangkar dan penanaman rumpai laut, di Kuala Merotai, dekat sini, hari ini.

Beliau berkata pada tahun lalu sumbangan kepada ekonomi Tawau dalam industri ini adalah lebih RM6.36 juta.

Penanaman rumpai laut ini dijalankan di kawasan Kuala Merotai Tawau. Gambar SNT / Nasrawati Syarifuddin

Jelasnya industri ini semakin melonjak naik berikutan mendapat permintaan tinggi daripada negara luar.

“80 peratus daripada hasil berkenaan kita export ke Hong Kong manakala selebihnya dijual untuk pasaran tempatan,” jelasnya.

Beliau juga menyeru orang ramai yang ingin memohon boleh terus ke Jabatan Tanah dan Ukur terlebih dahulu sebelum proses selanjutnya dilakukan.

“Jabatan Perikanan boleh bantu mencari kawasan yang sesuai kepada orang ramai yang ingin menjana ekonomi ternakan ikan dalam sangkar atau rumpai laut.

“Dalam industri rumpai laut ini kos operasi lebih murah berbanding ikan dalam sangkar. Harga pasaran pun semakin memberangsangkan dan mendapat permintaan ramai,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Perhubungan Setiausaha Politik, Fung Thien Yein berkata industri penanaman rumpai laut dan ternakan ikan dalam sangkar mampu menjana ekonomi pelancongan.

“Kawasan berkenaan boleh menjadi tempat pelancongan dimana difahamkan lokasi terbabit turut menyediakan restoran makanan laut.

“Salah seorang daripada pengusaha ikan dalam sangkar berkenaan turut menyediakan restoran makanan laut. Pelancong boleh datang dan memancing di situ. Selepas memancing, hasil yang mereka peroleh boleh terus dimasak di restoran itu.

“Saya harap lebih ramai individu yang berminat mengusahakan industri perikanan ini sambil kita mempromosikan Cuti-Cuti Tawau kepada pelancong luar,” katanya. – SabahNewsToday