Pilih Bahasa

800 PEGUAM, ANGGOTA BADAN KEHAKIMAN SABAH DAN SARAWAK SERTAI PERARAKAN PEMBUKAAN TAHUN PERUNDANGAN 2019

Oleh Chris Maskilone

Ketua Hakim Negara Tan Sri Richard Malanjum (tiga dari kanan) mengetuai perarakan. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Seramai 800 terdiri daripada hakim dan peguam dari Sabah dan Sarawak serta pegawai mahkamah berarak lebih kurang 1.6km sempena Pembukaan Tahun Perundangan 2019 pagi tadi.

Perarakan Pembukaan Tahun Perundangan 2019 didahului dengan pancaragam PDRM dan berarak sejauh 1.6 kilometer di Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Perarakan diketuai oleh Ketua Hakim Negara Tan Sri Richard Malanjum sendiri diiringi oleh Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Seri David Wong Dak Wah serta Hakim Besar Malaya Tan Sri Zaharah Ibrahim.

Turut bersama ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) Datuk Liew Vui Keong dan Peguam Besar Negara, Tommy Thomas serta Peguam Besar Negeri Sabah Datuk Hjh. Zaleha Rose Datuk Hj. Pandin dan  Sarawak, Datuk Talat Mahmood Abd Rashid.

Tan Richard Malanjum melancarkan aplikasi E-Review E-Appeal untuk kegunaan mahkamah sambil disaksikan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong (dua kiri) dan Peguam Negara Tommy Thomas (kiri). Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Perarakan bermula lebih kurang 7.30 pagi di persimpangan ke Kompleks Karamunsing Jalan KK – Tuaran menuju ke jalan bertingkat Bukit Nenas dan berakhir di Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu pada jam 8.30 pagi.

Walaupun perarakan ini merupakan acara tahunan di Sabah dan Sarawak secara bergilir namun kali terakhir Kota Kinabalu menjadi hos ialah empat tahun lalu.

Ini juga perarakan pertama selepas operasi mahkamah berpindah ke Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu yang siap sepenuhnya tahun lepas.

Selepas perarakan, acara perasmian diadakan di Dewan Persidangan.

Turut hadir ialah Presiden Sabah Law Society, Brenndon Keith Soh dan Presiden Persatuan Peguambela Sarawak, Ranbir Singh Sangha.-SabahNewsToday