Pilih Bahasa

81 buah rumah musnah di Kampung Karakit, Pulau Banggi musnah dijilat api

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Kebakaran di Kampung Karakit, Pulau Banggi. Gambar SNT/Sumber media sosial

KUDAT: Sebanyak 81 buah rumah di atas air dan darat di Kampung Karakit, Pulau Banggi dekat sini musnah dalam kebakaran melibatkan lebih 300 mangsa hari ini.

Kebakaran yang berlaku kira-kira pukul 3.15 petang itu turut memusnahkan dua buah kuaters guru Sekolah Kebangsaan (SK) Karakit dan sebuah kenderaan jenis Toyota Vigo.

Kuarters guru turut musnah dalam kebakaran tersebut. Gambar SNT/Sumber media sosial

Pihak bomba telah menggerakkan anggota ke tempat kejadian yang terletak 40 kilometer daripada balai bomba dengan menaiki bot Maritim sejurus menerima panggilan kecemasan pukul 3.26 petang.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kudat, PPgB Ishak Jabas berkata pemeriksaan awal mendapati seramai 303 mangsa terlibat dalam kejadian itu.

Menurut beliau kesemua mangsa yang telah kehilangan tempat tinggal ditempatkan di pusat pemindahan sementara SK Karakit, Sekolah Agama Negeri Karakit dan Rumah Rehat Pejabat Daerah.

Api membakar rumah atas air dan juga darat. Gambar SNT/Sumber media sosial

“Tiada kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan berlaku. Bagaimanapun talian telefon serta sistem rangkaian radio bersepadu kerajaan (GIRN) di lokasi tidak dapat dihubungi.

“Operasi dikawal sepenuhnya pada pukul 6.10 petang dan pemadaman tamat sepenuhnya kira-kira 6.30 petang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Asap tebal daripada api yang memusnahkan 81 buah rumah di Karakit. Gambar SNT/Sumber media sosial

Ishak menambah bagi memastikan keselamatan, pihaknya juga telah melakukan pemeriksaan untuk memastikan tidak ada lagi punca api dan bahaya lain di tempat kejadian.

Setakat ini, punca kejadian masih belum dinyatakan. – SabahNewsToday