Pilih Bahasa

81 DIBERKAS DALAM OPERASI IPD KOTA KINABALU DI TIGA KAWASAN SEJAK 2 MAC

Oleh Alfred Petrus

Antara dadah jenis syabu yang dirampas pada beberapa operasi berkenaan. – Gambar SNT/Ihsan IPD Kota Kinabalu

KOTA KINABALU: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu berjaya memberkas seramai 81 orang dalam beberapa operasi selama seminggu bermula 2 Mac lalu di Manggatal, Inanam dan Tanjung Aru.

Sepanjang operasi itu diadakan, IPD Kota Kinabalu turut merampas dadah jenis syabu seberat 5.15 gram yang dianggarkan bernilai RM800 mengikut harga dadah semasa.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata kesemua tangkapan yang dibuat dalam tempoh kajian itu adalah tertumpu di sekitar tiga kawasan tersebut.

“Bagi tempoh tersebut, seramai 81 tangkapan di bawah Akta Dadah Berbahaya telah dibuat, melibatkan keselahan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

“Daripada jumlah itu, seramai 15 orang ditangkap atas kesalahan memiliki dadah dan 66 orang bagi kesalahan positif dadah ketika ujian air kencing.

“Melalui tangkapan tersebut juga, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Kota Kinabalu merekodkan seramai 61 warga tempatan dan 20 warga asing yang berumur antara 16 hingga 41 tahun,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Habibi berkata daripada 20 tangkapan ke atas warga asing tersebut, pihak polis telah menahan seorang pemandu pelancong lelaki warga Korea kerana ujian air kencing didapati positif dadah.

Beliau berkata kes tersebut di bawah  Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, katanya IPD Kota Kinabalu dalam usaha membanteras pengedaran dan penagihan dadah sekitar daerah akan diperhebatkan dan dipertingkatkan dari semasa ke semasa demi kesejahteraan mahupun ketenteraman kawasan Kota Kinabalu khususnya.

Sehubungan itu beliau berkata orang ramai dialu-alukan untuk menyalurkan maklumat berkenaan kegiatan jenayah narkotik bagi membanteras jenayah tersebut berleluasa di daerah Kota Kinabalu. – SabahNewsToday