Pilih Bahasa

846 SUSPEK KES JUDI DAN DADAH DITAHAN DI PAPAR TAHUN LALU: KPD PAPAR

Oleh Mohd Adam Arinin

Ketua Polis Daerah Papar Deputi Superitendan Batholomew Ak Umpit (tengah) pada sidang media di IPD Papar. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

PAPAR: Seramai 64 individu ditahan polis selepas terbabit dalam aktiviti perjudian haram manakala seramai 782 orang ditahan terlibat dalam pelbagai kesalahan jenayah narkotik di daerah ini sepanjang tahun lepas.

Ketua Polis Daerah Papar Deputi Superitendan Batholomew Ak Umpit berkata sepanjang tahun lepas pihak polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) IPD Papar telah melakukan sebanyak 50 sebuan.

“Daripada jumlah serbun yang dibuat, seramai 64 individu telah kita tahan kerana dipercayai terlibat dalam kegiatan ini.

Ketua Polis Daerah Papar Deputi Superitendan Batholomew Ak Umpit (tengah) memeriksa barisan kawalan kehormat pada Majlis Perhimpunan Bulanan IPD Papar. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Antara kesalahan yang dilakukan termasuklah dibawah Seksyen 4B(a), Seksyen 4(1)(c) dan Seksyen 4A(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan IPD Papar di sini, hari ini.

Menurut Bath, sebanyak 60 buah set telefon bimbit turut dirampas selain daripada 34 buah set pencetak mudah alih dan wang tunai berjumlah RM 21,009 sepanjang serbuan dibuat.

“Kesemua yang terlibat berumur antara 18 hingga 50 tahun,” tambahnya.

Dalam pada itu, seramai 782 orang ditahan pihak polis atas pelbagai kesalahan melibatkan penyalahgunaan dadah sepanjang tahun 2018.

“Dua daripada suspek yang terlibat ditahan dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. Seorang dibawah Seksyen 39A(2) akta yang sama.

“Dua lagi suspek dibawah Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah dan selebihnya dibawah Seksyen 39A(1) akta yang sama.” katanya.

Jelas Bath, pihaknya juga menahan seramai 129 individu dibawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala seramai 606 individu bawah Seksyen 15(1)(a) akta yang sama.

Sepanjang operasi dijalankan, pihak polis IPD Papar juga telah merampas sejumlah 441.6 gram dadah jenis syabu dan 10.83 gram dadah jenis ganja. -SabahNewsToday