Pilih Bahasa

88 bakal pelajar universiti terima sumbangan Yayasan MyPrihatin

Oleh Alfred Petrus

Salah seorang menerima bantuan berupa komputer riba yang diserahkan oleh Jamawi. Gambar SNT/Alfred Petrus

TENOM: Seramai 88 orang pelajar yang berjaya mendapat tawaran melanjutkan pelajaran ke universiti tempatan menerima sumbangan sebanyak RM300 setiap seorang daripada Yayasan MyPrihatin.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kemabong, Jamawi Jaafar berkata, sumbangan itu bertujuan untuk memberikan dorongan kepada pelajar-pelajar berkenaan untuk terus berusaha melanjutkan pengajian ke peringkar lebih tinggi.

“Ini kerana, pelajar seramai 88 orang sekitar Kemabong yang telah mendapat tawaran ke universiti kali ini membawa amanah daripada ibu bapa mereka dan pemimpin Kemabong agar beroleh kejayaan.

“Setakat ini, seramai lebih 600 pelajar telah mendapat tajaan daripada Yayasan MyPrihatin yang ditubuhkan sejak 2009 khusus untuk membantu mengatasi masalah kebajikan masyarakat Kemabong terutamanya dari aspek pendidikan.

“Kita merasa bangga kerana sebahagian daripada mereka yang mendapat sumbangan sebelum ini telah pun memasuki sektor perkhidmatan awam dan seramai 82 pelajar yang telah berdaftar dengan saya sudahpun membayar kepada Yayasan ini secara sukarela,” katanya selepas selesai melancarkan majlis sumbangan wang poket kepada pelajar yang mendapat tawaran ke universiti di pejabat Adun Kemabong pada Selasa.

Katanya, jumlah bayaran semula secara sukarela itu telahpun digunakan sebagai dana sumbangan sebahagian wang poket 88 pelajar tersebut.

Jamawi berharap agar 88 orang pelajar berkenaan membawa harapan tinggi kepada ibu bapa mereka selepas menamatkan pengajian dengan mendapatkan pekerjaan yang lebih baik kelak.

“Elakkan sikap yang terlalu meminta seperti notebook atau laptop kerana pelajar itu sendiri perlu memahami keadaan keluarganya yang serba kekurangan.

“Apa yang lebih penting adalah pelajar itu sendiri harus berusaha untuk memajukan dirinya sendiri,” jelasnya. -SabahNewsToday