Pilih Bahasa

90 peratus bumiputera sertai perlumbaan Perahu Naga tanda perpaduan terbaik: Christina

Oleh Alfred Petrus

Juhar (tiga kiri) memalu gong sebanyak tiga kali sebagai gimik perasmian pertandingan itu sambil disaksikan oleh Christina (dua kanan). – Gambar SNT/Alfred Petrus

KOTA KINABALU: Penglibatan kira-kira 80 hingga 90 peratus peserta bumiputera dalam Perlumbaan Perahu Naga Antarabangsa kali keenam menunjukkan semangat perpaduan terbaik dalam kalangan masyarakat negeri.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Christina Liew berkata acara yang dianjurkan oleh Gabungan Persatuan Cina Sabah (FCAS) itu juga jelas menunjukkan keunikan dalam kepelbagaian kaum dna budaya di seluruh negeri.

Beliau yang juga Meneri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar berkata penganjuran selama dua hari bermula 15 Jun itu bersifat keterbukaan terhadap penyertaan tanpa mengira kaum.

“Walaupun secara tradisi perlumbaan ini adalah kebudayaan masyarakat Cina, tetapi kini penyertaan dalam kalangan bumiputera selain dari luar negara sangat menggalakkan.

“Dalam pada itu, kerajaan negeri berbangga dengan penganjuran oleh FCAS yang bertungkus lumus menjayakan acara ini dengan begitu baik sekali,” katanya.

Antara aksi perlumbaan perahu naga. – Gambar SNT/Alfred Petrus

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Perasmian Perlumbaan Perahu Naga Antarabangsa Keenam, di Pantai Teluk Likas, hari ini.

Sementara itu, majlis berkenaan disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin yang turut dihadiri oleh isterinya Toh Puan Norlidah RM Jasni. -SabahNewsToday