Pilih Bahasa

90 peratus pelantikan pemimpin masyarakat telah dibuat-Setiausaha Kerajaan Negeri

Oleh Chris Maskilone

KOTA KINABALU: Lebih daripada 90 peratus pelantikan Ketua Daerah, Ketua Anak Negeri, Wakil Ketua Anak Negeri, Ketua Kampung serta Ketua Masyarakat Cina telah pun dilakukan.

Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Hashim Paijan berkata kenyataan oleh Presiden Kebudayaan Rumpun Dayak Sabah, Cleftus Mojingol pada 10 September amat dikesali kerana hanyalah rekaan daripada imaginasi beliau semata-mata.

Datuk Hashim Paijan. Gambar Fail SNT

Hanya beliau yang tahu dari mana fakta-fakta tersebut diambil, namun semuanya salah, katanya.

Dalam satu kenyataan hari ini, Hashim menjelaskan daripada 3,965 kekosongan jawatan-jawatan tersebut, sebanyak 3,430 telah pun diisi dan semua yang dilantik telah menjalankan tugas masing-masing.

“Sehubungan itu, untuk mendakwa kerajaan masih belum melantik pengerusi MPKK dan Ketua Kampung adalah pembohongan nyata,” katanya.

Bagaimanapun, menurutnya ada beberapa jawatan yang masih kosong kerana individu dilantik menolak tawaran atas sebab yang hanya mereka tahu, manakala sebahagiannya lambat memberikan jawapan.

Meskipun begitu, pengganti mereka telah dicari dan akan mula bertugas tidak lama lagi, tambahnya lagi.

Hashim berkata terdapat juga beberapa keadaan di sesetengah daerah yang sebelum ini mempunyai dua Ketua Daerah namun amalan tersebut telah dihentikan.

Bagi tuduhan bahawa kerajaan tidak membayar gaji pemimpin akar umbi pula, Hashim berkata Mojingol seolah-olah baru bangun daripada mimpi buruk kerana semua faktanya sekali lagi salah.

“Hampir kesemua lantikan telah menerima gaji dan tunggakan masing-masing, manakala bagi yang masih belum dibayar kerana gagal memberikan maklumat lengkap termasuk akaun bank, sukar untuk Jabatan Bendahari melakukan pembayaran.

“Kumpulan ini juga akan dibayar penghujung bulan ini,” katanya.-SabahNewsToday