Pilih Bahasa

98 anak yatim, pelajar fakir miskin diraikan dalam Majlis Sinar Aidilfitri

Oleh Nasrawati Syarifuddin

TAWAU : Seramai 52 anak yatim di Jalan Apas dan 46 pelajar fakir miskin Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Tawau diraikan dalam satu Majlis Sinar Aidilfitri di sini, kelmarin.

Program anjuran Unit Kebajikan dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru SK Taman Tawau itu diadakan pada setiap bulan Ramadan.

Datuk Nizam Abu Bakar Titingan bergambar bersama penerima bantuan selepas majlis itu. Gambar SNT / Ihsan Pejabat Adun Apas

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata usaha murni seumpama itu diharap dapat diteruskan serta dimantapkan lagi dari semasa ke semasa.

“Saya berharap lebih ramai lagi dermawan tampil ke hadapan untuk menghulur bantuan sambil bersedekah kepada mereka yang memerlukan,” katanya semasa merasmikan majlis berkenaan.

Dalam pada itu, beliau berkata sumbangan yang diberikan kepada golongan kurang bernasib baik bertujuan menceriakan kehidupan mereka terutamanya pada bulan Ramadan yang mulia ini.

Katanya golongan ini perlu diberi perhatian supaya mereka dapat bergembira seperti orang lain sepanjang ramadan dan menjelang sambutan Aidilfitri.

“Sebagai masyarakat yang meraikan pelbagai perayaan, golongan itu biasanya tidak akan dilupakan supaya mereka juga dapat meraikan Aidilfitri seperti orang lain.

“Walaupun sumbangannya sedikit tetapi ia cukup bermakna kepada mereka dan berharap masyarakat turut sama membantu golongan yang memerlukan bantuan,” katanya. – SabahNewsToday