Pilih Bahasa

997 unit kediaman baharu bernilai RM563 juta dijual sepanjang kempen HOC tahun ini

Oleh Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: Sebanyak 997 unit kediaman baharu bernilai RM563 juta di negeri ini berjaya dijual sepanjang Kempen Pemilikan Rumah Mampu Milik (HOC) setakat pertengahan Oktober.

Jumlah berkenaan adalah sebahagian dari 4,196 unit kediaman siap dibina bernilai RM2.254 bilion membabitkan 48 projek berdaftar di seluruh Sabah.

Presiden Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sabah (Shareda), Datuk Chew Sang Hai berkata Kota Kinabalu mencatatkan penjualan unit rumah paling banyak setakat ini iaitu 521 unit dari 2,000 rumah yang didaftarkan dan ikuti daerah Tawau sebanyak 159 unit dari 1,065 unit kediaman.

Sang Hai berkata penjualan unit rumah ketiga tertinggi bagi HOC adalah daerah Sandakan sebanyak 118 unit dari 344 unit rumah siap dibina manakala 85 unit dari 86 unit kediaman di daerah Tuaran berjaya dijual.

“Kita berpuas hati dengan jumlah keseluruhan penjualan rumah sepanjang kempen ini dan melihat inisiatif terbabit berjaya menarik lebih ramai pembeli rumah di negeri ini.

“Saya yakin bilangan kediaman sudah dijual ketika ini akan terus bertambah dari semasa ke semasa memandangkan HOC berkenaan diteruskan sehingga 31 Disember hadapan.

“Shareda juga sudah melihat kembali jumlah sasaran bagi kempen ini malah kini meletakkan sasaran sebanyak RM600 juta untuk nilai penjualan kediaman sepanjang kempen berbanding RM300 juta sebelum ini,” katanya ketika sidang media Shareda, dekat sini, hari ini.

Turut hadir Pengurus Besar Hartanah Hap Seng Properties Development Sdn Bhd, Edward Chin Szu Chiang dan Pengurus Besar Grand Merdeka Asset Sdn Bhd, Emily Chew Fei Sean.

Sementara itu, Sang Hai berkata pihaknya menyambut baik pengumuman kerajaan persekutuan berkaitan kebenaran pembelian rumah berharga RM600,000 dari RM1 juta bagi pelabur asing di seluruh negara dalam pembentangan Bajet 2020, baru-baru ini.

Beliau berkata ia seiring dengan inisiatif Shareda dalam mempromosikan pelancongan hartanah di Sabah.

“Bagaimanapun, strategi harus dirumuskan oleh kerajaan negeri untuk menarik lebih ramai pelabur asing membeli kediaman di negeri ini melalui program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H),” katanya. -SabahNews Today