Pilih Bahasa

AADK diminta terus laksana program banteras penyalahgunaan dadah

Oleh Nasrawati Syarifuddin

Osman (dua kiri) bergambar bersama peserta program Smart yang menjalankan aktiviti gotong-royong memungut sampah di kawasan Persisiran Traulsen Tawau. – Gambar SNT/Ihsan Adun Balung

TAWAU: Kerajaan negeri menghargai usaha Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Tawau membantu belia dalam membentuk sahsiah diri dengan mengadakan aktiviti-aktiviti kesedaran bahaya dadah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Balung, Datuk Osman Jamal berkata langkah membanteras penyalahgunaan dadah harus dilipatgandakan selain menuntut kerjasama daripada masyarakat itu sendiri.

Osman (dua dari kanan) menyertai aktiviti gotong-royong mengutip sampah di Persisiran Traulsen Tawau. – Gambar SNT/Ihsan ADUN Balung

“Walau apa pun kerajaan buat untuk pembangunan belia seperti kemahiran dan sebagainya, namun jika dadah tidak dibanteras dengan segera maka harapan kita untuk masa depan negeri Sabah tidak akan dicapai kerana najis dadah ini cepat merebak dan memusnahkan.

“Justeru itu, saya berterima kasih kepada pihak AADK kerana mengadakan program ke arah bagaimana membasmi najis dadah dalam kalangan masyarakat khususnya golongan belia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program Sukses, Matang, Aktif, Rasional, Tanggungjawab (Smart) anjuran AADK Tawau dengan kerjasama Skuad AADK, di Dewan Kastam Diraja Malaysia, di sini hari ini.

40 peserta program Smart anjuran AADK tawau bergambar kenangan bersama Osman selepas selesai program. – Gambar SNT/Nasrawati Syarifuddin

Sementara itu, Ketua AADK Tawau, Abdul Gani Keruput berkata program ini dijalankan setiap tahun dengan tujuan memberikan kesedaran kepada golongan belia berkenaan bahaya dadah dan penyalahgunaan dadah.

“Jika melihat kepada statistik semasa, golongan remaja adalah yang paling ramai terbabit dengan dadah.

“Oleh yang demikian adalah wajar supaya kita terus membekalkan belia dengan maklumat berkaitan bahaya dadah,” katanya. – SabahNewsToday