Pilih Bahasa

AADK SABAH SUMBANG BANTUAN MANGSA KEBAKARAN

Oleh Mohd Adam Arinin

Anggota AADK Sabah bergambar setelah menghantar sumbangan kepada mangsa kebakaran Kampung Pasir Putih, Putatan. Gambar SNT/Ehsan AADK

PUTATAN: Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Negeri Sabah diantara salah satu agensi kerajaan yang turut bersama menyalurkan bantuan kepada mangsa kebakaran di Kampung Pasir Putih, Putatan, hari ini.

Penolong Pengarah Pencegahan, Kesedaran Awam dan Publisiti AADK Sabah, Dayang Siti Rohani Sedan berkata adalah menjadi salah satu tanggungjawab pihaknya dalam melaksanakan khidmat kemasyarakatan seperti ini selain daripada memberikan pemahaman dan kesedaran mengenai bahaya dadah.

“Agensi ini bukan setakat memberikan kesedaran kepada masyarakat setempat tentang bahaya dadah.

“Tetapi dalam hal sebegini, kita mengambil inisiatif dalam konsep turun padang untuk melihat sendiri keadaan mangsa kebakaran dan seterusnya memberikan sedikit bantuan selain memberikan semangat kepada mangsa,” katanya ketika dihubungi SabahNewsToday selepas mengadakan perjumpaan dan penyerahan sumbangan kepada mangsa kebakaran di sini, pagi tadi.

Menurut Dayang, bantuan yang disalurkan adalah seperti lampin pakai buang bayi, tuala wanita, tilam, bantal, selimut dan bekalan air minuman serta makanan kering seperti biskut dan roti.

“Selain itu, pihak AADK juga turut menyerahkan beberapa barangan keperluan harian seperti baju terpakai dan kelengkapan kebersihan yang disumbangkan sendiri oleh kakitangan AADK,” tambahnya.

Seramai 25 kakikatangan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) termasuk 15 ahli SKUAD AADK Kota Kinabalu menjayakan misi bantuan ini yang diketuai oleh Dayang Siti Rohani Sedan.

Pada tengah hari Jumaat lepas, dianggarkan lebih 55 buah rumah di perkampungan ini musnah dalam kejadian kebakaran yang membabitkan seramai 75 keluarga dengan jumlah 315 orang terlibat.

Dalam kejadian itu, tiada kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan. Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan. -SabahNewsToday