Pilih Bahasa

AADK tahan 14 penagih dalam Ops Cegah di Labuan

Oleh Junaidi Ladjana

Penagih berusia 49 tahun yang bersembunyi dibawah katil elak ditahan pegawai penguat kuasa AADK dalam Ops Cegah di Labuan. – Gambar SNT/Ihsan AADK Labuan

LABUAN: Tindakan seorang penagih bersembunyi di bawah katil untuk mengelak daripada ditahan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) gagal, apabila berjaya dikesan dalam operasi di Kampung Durian Tunjung, hari ini.

Lelaki berusia 49 tahun itu antara 14 penagih yang ditahan dalam Ops Cegah bermula pukul 12 tengah malam hingga 4.40 pagi itu membabitkan sepasukan pegawai penguat kuasa AADK Negeri dan Labuan diketuai Erwan Roslan.

Ketua Pegawai AADK Labuan, Mohd Hanip Juarip berkata operasi itu tertumpu di empat buah kampung di kawasan Labuan antaranya Kampung Tanjung Aru, Durian Tunjung, Bukit Kuda dan Bukit Kalam.

“Ketika operasi dilakukan di sebuah rumah di Kampung Dutian Tunjung, seorang penagih melarikan diri dan bersembunyi di bawah katil bagi mengelak ditahan.

Penguat kuasa AADK menahan seorang penagih yang bertindak agresif cuba melarikan diri ketika ditahan dalam Ops Cegah di Labuan. – Gambar SNT/Ihsan AADK Labuan

“Namun usaha itu gagal selepas berjaya dikesan pegawai penguat kuasa AADK. Semua tangkapan kemudian dibawa pejabat AADK Labuan untuk tindakan lanjut,” katanya di sini, hari ini.

Mohd Hanip berkata hasil saringan air kencing mendapati semua suspek berusia 18 hingga 51 tahun positif dadah.

Katanya permohonan reman di Mahkamah Majistret Labuan akan dilakukan dan kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Pemulihan Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

“Orang awam yang mempunyai maklumat berhubung penyalahgunaan dadah boleh menyalurkan maklumat dengan menghubungi AADK Labuan di talian 087-422977 atau tampil ke mana-mana pejabat AADK berhampiran,” katanya. – SabahNewsToday