Pilih Bahasa

AADK TUARAN CEKUP TIGA PASANG ADIK BERADIK TERLIBAT DADAH

Oleh Alfred Petrus

Antara individu yang ditahan di balai raya sekitar Tuaran. Gambar SNT/Ehsan AADK

TUARAN: Dua beradik berjaya ditahan pihak Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Tuaran dalam Ops Cegah ketika sedang leka bermain permainan Mobile Legend bersama dua lagi rakan lain di balai raya pada pukul 1 pagi tadi.

Ketua Pegawai AADK Tuaran Asraf Hafiz Ruslan berkata keempat-empat suspek berkenaan ditahan kerana disyaki penagih dadah.

“Pada mulanya mereka menafikan tidak mengambi dadah berbahaya namun setelah diperiksa terdapat peralatan menghisap syabu dalam motor mereka,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya melalui operasi sama di lokasi berlainan, dua beradik lagi berjaya diberkas kerana disyaki terlibat dengan penagihan dadah.

Pihak AADK Tuaran menahan individu dipercayai penagih dadah dalam Ops Cegah. Gambar SNT/Ehsan AADK

Katanya berdasarkan maklumat awam, rumah mereka dijadikan ‘port’ untuk melepak dan menagih dadah.

Jelasnya remaja di kawasan berkenaan selalu lepak di rumah mereka untuk berseronok.

Selain itu, dua beradik dilokasi berlainan lagi juga ditahan kerana disyaki penagih dadah.

“Berdasarkan aduan, adik beradik tersebut selalu melepak dirumah sepupu mereka yang dikatakan port menagih dadah,” katanya.

Asraf berkata hasil daripada operasi di beberapa kawasan, pihaknya berjaya menahan seramai 10 orang suspek keseluruhannya dari kampung berlainan di daerah tersebut.

“Kesemua mereka didapati positif syabu selepas ujian saringan awal air kencing.

“Mereka berumur di antara 16 hingga 36 tahun dan ditahan di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983,” jelasnya.

Sementara itu, Asraf berkata pihak AADK Tuaran akan terus melakukan pemantauan dari semasa ke semasa bagi membantaras kegiatan penagihan dadah.

“Orang awam yang mempunyai maklumat berhubung penyalahgunaan dadah boleh menyalurkan maklumat dengan menghubungi AADK Tuaran ditalian 088-788336 atau tampil ke mana-mana pejabat AADK berhampiran,” katanya. -SabahNewsToday