Pilih Bahasa

Adat, tradisi kini lebih terpelihara: Madius

TAMPARULI: Adat istiadat dan tradisi etnik Momogun di Sabah kini lebih terpulihara sejak Kerajaan baharu ditubuhkan setahun lalu.

“Di mana sahaja saya kunjungi, secara rasmi atau sebaliknya, tahap penghayatan kita dan penggunaan adat serta tradisi Momogun sudah ditahap lebih tinggi. Itu persepsi akar umbi yang sangat ketara dan meluas,” kata Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau.

Madius memuji kumpulan penari dari SK Guakon yang menyerikan lagi program di Puhus. Gambar SNT/Ihsan KPP

“Keadaan ini bukanlah satu kebetulan; yang nyata, Kerajaan secara sedar mengadakan pelbagai program khusus untuk Momogun namun bersifat menyeluruh, untuk semua.

“Hasilnya, identiti kita semakin terserlah dan menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian kita,” kata beliau.

Yang terkini, lebih ramai yang sudah memperolehi pengetahuan cara-cara asas membuat sigar (penutup kepala tradisi).

“Kerajaan akan teruskan usaha memulihara budaya dan adat Momogun kerana sepatutnya kita kenali dan hargai asal usul supaya kita akan menjadi rakyat Sabah yang lebih patriotik serta progresif,” tambah beliau.

Madius, yang juga merupakan Presiden Upko berkata keputusan Kerajaan meluluskan penggunaan busana tradisi etnik sebagai salah satu pakaian rasmi termasuk digunakan ke pejabat setiap Khamis adalah antara pemangkin kepada pelestarian tradisi Momogun.

(Dari kanan) Dr Rosliah, Madius, Dr Mahzan dan Joanly berbincang mengenai kursus di Puhus pagi tadi. Gambar SNT/Ihsan KPP

Beliau berkata Upko dalam kongresnya penghujung tahun lalu membuat resolusi mengenai busana tradisi etnik dan diluluskan oleh Kerajaan pada Mei.

“Saya menyeru supaya setiap kita tingkatkan penghayatan budaya apapun juga suku kaum kita kerana ia boleh memperkukuhkan lagi keharmonian dan kemakmuran Sabah,” kata beliau.

Madius berkata demikian ketika diminta mengulas ucapan semasa merasmikan Kursus Membuat Sigar di Kg Puhus, Tamparuli, satu Program Khidmat Masyarakat anjuran Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pengajian Sultan Idris (UPSI) Perak pagi ini.

Turut hadir Prof Madya Dr Mahzan bin Arshad Dekan Fakulti, ketua program Joanly Jounis dan pembimbing Dr Rosliah Kiting, serta Ketua kampung Matundan Gilingan dan pengerusi MPKK Osman Tuin.

Program ini adalah yang kedua selepas Keningau oleh UPSI dan sudah menurunkan ilmu kepada hampir 200 pembuat sigar.

Sigar asal yang diperbuat daripada kain tenunan berharga lebih RM600 setiap satu.

Yang diajar hari ini ialah menggunakan daripada kain sarung bermotifkan corak Borneo, peralatan menjahit, lace/renda emas dan kertas pengeras hanya memerlukan kos kurang daripada RM50 setiap satu.

Sementara itu, Dr Rosliah berkata, pengajian minor Bahasa Kadazandusun di UPSI terus menerus mendapat sambutan sangat baik dan setakat ini, ia sudah melahirkan 97 graduan, manakala 121 masih menuntut.-SabahNewsToday