Pilih Bahasa

Adau Janang Gayuh perlu manfaatkan sektor pelancongan digital

Abdul Kudien (tiga dari kiri) diringi oleh Lajim (tengah) semasa melawat gerai pemeran kraftangan masyarakat Bisaya sempana sambutan tersebut. – Gambar SNT/Ihsan Aadau Janang Gayuh

BEAUFORT: Persatuan Bisaya Bersatu Sabah (PBBS) perlu menerokai sektor pelancongan digital untuk mempromosikan Adau Janang Gayuh yang menjadi identiti budaya masyarakat Bisaya di negeri ini.

Presidennya Janang Gayuh Datuk Lajim Ukin berkata pesta yang mempunyai daya tarikan sendiri dan sarat budaya itu jika dipromosikan secara meluas mampu menarik lebih ramai pengunjung tempatan dan luar negara melawat ke negeri ini khususnya ke kawasan Beaufort.

“Adau Janang Gayuh satu perayaan terbesar masyarakat kita yang menampilkan kepelbagaian budaya masyarakat etnik Bisaya kepada pengunjung.

Lajim menyampaikan cendera kenangan kepada Abdul Kudien sempena majlis perasmian Adau Janang Gayuh. – Gambar SNT/Insan Adau Janang Gayuh

“Saya berharap PBBS  dapat menerokai platform pelancongan digital untuk memperhebat acara ini ke luar negara,” katanya ketika berucap pada penutupan Adau Janang Gayuh ke-12 di Padang Kobesa Desa Lestari Kampung Suasa dekat sini baru baru ini.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Setiausaha Politik Menteri Pelancongan,Seni dan Budaya Malaysia Abdul Kudien Hussein yang  mewakili Menterinya Datuk Mohamaddin Ketapi

Turut hadir Presiden Persatuan Masyarakat Brunei Sabah (PMBS) Datuk Mohd. Arifin Arif; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klias Datuk Isnin Aliasnih; Adun Lumadan, Matbali Musah; Pegawai Daerah Beaufort ,Jupry Etok dan Naib Presiden Persatuan Bisaya Sarawak, Narawi Aba.

Pusat Kebudayaan dan Kesenian PBBS di daerah Beaufort akan dijadikan pusat kegiatan kebudayaan masyarakat Bisaya. – Gambar SNT/Ihsan Adau Janag Gayuh

Sehubungan itu Lajim mahu tenaga muda dari kalangan masyarakat Bisaya yang berkemahiran dalam bidang berkaitan tampil membantu PBBS bagi menerokai bidang digital dalam menyebar luaskan keunikan  budaya masyarakat Bisaya agar orang luar mengenali budaya serta adat resam masyarakat Bisaya..

Lajim berkata usaha itu sudah pasti dapat menjana pendapatan hasil pembangunan sektor pelancongan di Beaufort sekaligus memberikan pulangan ekonomi kepada masyarakat Bisaya khususnya.

Dalam perkembangan berkaitan Lajim berkata Pusat Kebudayaan dan Kesenian PBBS akan dijadikan pusat utama bagi masyarakat Bisaya menjalankan aktiviti kebudayaan selain kegiatan sambutan Adau Janang Gayuh yang diadakan setiap tahun. – SabahNewsToday