Pilih Bahasa

Adik-beradik ditahan cuba seludup masuk 14,800 bungkus rokok

Oleh Nasrawati Syarifuddin

LAHAD DATU: Dua beradik lelaki warganegara Filipina ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) daerah ini disyaki cuba seludup masuk 14,800 bungkus rokok pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM67,000, di Simpang Tabin, pagi semalam.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata suspek berusia 26 tahun bersama adiknya berusia 10 tahun itu dikesan membawa
rokok terbabit dianggarkan bernilai RM67,000 menggunakan sebuah van sebelum berjaya ditahan pukul 7.18 pagi.

Suspek berusia 26 tahun dan adiknya berusia 10 tahun ditahan cuba seludup masuk pelbagai jenis rokok. Gambar SNT / Ihsan PPM Lahad Datu

“Menyedari kenderaan itu bergerak dalam keadaan mencurigakan, kita bertindak mengekorinya dari Bandar Lahad Datu hingga ke Simpang Tabin Tungku dan berjaya ditahan.

“Hasil pemeriksaan ke atas van berkenaan, kedua-dua suspek tanpa dokumen pengenalan diri yang sah membawa barangan yang dibalut menggunakan plastik hitam.

“Setelah pemeriksaan dibuat, kita mendapati plastik terbabit berisi 14,800 bungkus rokok pelbagai jenis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Van jenis Toyota Hiace diekori Pasukan Polis Marin (PPM) dan menemukan muatan barangan yang dibalut menggunakan plastik hitam disyaki rokok seludup. Gambar SNT / Ihsan PPM Lahad Datu

Beliau berkata, pihaknya turut merampas van jenis Toyota Hiace yang digunakan untuk seludup rokok, dua telefon bimbit, beg duit serta wang tunai.

“Semua jenis rokok bernilai RM67,000 dirampas dan dibawa ke Markas Operasi PPM Lahad Datu untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat dibawah Akta Kastam 1967,”katanya.-SabahNewsToday