Pilih Bahasa

Adun Apas bantu siapkan rumah keluarga mangsa bunuh

Oleh Nasrawati Syarifuddin

TAWAU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan akan membantu menyiapkan rumah yang ingin dibina oleh mangsa pembunuhan Jaafar Jalman, 49, yang mayatnya ditemui di dalam longkang, Fajar, Isnin lalu.

Beliau berkata, sebelum kejadian berlaku mangsa memiliki hasrat untuk membina sebuah rumah untuk keselesaan anak-anak dan isteri berhampiran kedai makannya yang terletak di Kampung Titingan, dekat sini.

Isteri mangsa bunuh, Sunarti Ismail bersama dua anaknya. Gambar SNT / Nasrawati Syarifuddin

“Bagaimanapun, impian mangsa untuk menyiapkan rumah berkenaan tidak kesampaian selepas mayatnya ditemui, Isnin lalu. Jadi saya akan berusaha membantu bina rumah itu untuk anak-anak dan isteri mangsa.

“Saya mahu ketua kampung di sini (Kampung Titingan) mengumpul butir-butir peribadi anak-anak dan isteri mangsa untuk dikemukakan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi meringankan beban harian mereka,”katanya ketika ditemui di kediaman mangsa, dekat sini tadi.”

Dalam pada itu, beliau turut menyeru pihak keselamatan dapat perketatkan lagi tindakan dan usaha membanteras jenayah yang sering berlaku sejak beberapa hari ini yang membabitkan suspek pendatang asing tanpa izin (PTI).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkesempatan menziarahi keluarga mangsa bunuh Jaafar Jalman di kediaman keluarganya di Kampung Titingan Tawau. Gambar SNT /Nasrawati Syarifuddin

“Pihak berkuasa khususnya pihak keselamatan dapat banteras jenayah bukan sahaja di Tawau malah di seluruh Sabah dimana suspek adalah dalam kalangan pati.

“Banyak kes yang mereka lakukan hingga mengakibatkan kematian. Kebanyakan suspek yang terbabit adalah individu yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah,”katanya.

Nizam turut menyeru orang ramai supaya mengelak daripada berada di kawasan yang boleh mengundang kepada berlakunya jenayah.

“Kejadian seperti ini amat merisaukan dan saya menyeru kepada orang ramai supaya tidak bersendirian ketika melalui kawasan gelap dan sunyi kerana ia akan memberi kesempatan kepada suspek melakukan jenayah.

Allahyarham Jaafar meninggalkan seorang isteri, Sunarti Ismail, 39, dan tujuh anak termasuk seorang anak angkat berusia tujuh bulan hingga 13 tahun.

Terdahulu, mayat mangsa dengan dua kesan tikaman di bahagian dada dan tengkuk ditemui di dalam longkang di belakang bangunan sebuah premis, di Jalan Bantu, Fajar, Isnin lalu.

Bagaimanapun, suspek empat remaja berusia 16 hingga 17 tahun berjaya ditahan pihak polis bagi membantu siasatan berhubung kejadian terbabit. –SabahNewsToday