Pilih Bahasa

Adun Apas fokus pembangunan infrastruktur, ekonomi belia

Oleh Nasrawati Syarifuddin

TAWAU: Isu pembangunan infrastruktur asas menjadi fokus utama dalam memastikan kebajikan penduduk di kawasan Apas sentiasa terbela.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata ia dijadikan agenda utama ekoran masih ramai masyarakat tinggal di rumah-rumah daif yang memerlukan bantuan daripada kerajaan baharu.

Datuk Nizam Abu Bakar Titingan dan isteri Datin Wahida Mardiana Norsalim bergambar kenangan bersama media yang hadir. Gambar SNT / Nasrawati Syarifuddin

“Perkara utama yang ingin saya fokuskan adalah pembangunan infrastruktur asas yang mana saya melihat bahawa masih banyak rumah-rumah daif di luar bandar yang harus diberi perhatian dan pembelaan oleh kerajaan Pakatan Harapan pada kali ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di kediamannya, di Wisma Keluarga Titingan, Banyan Drive, dekat sini semalam.

Nizam yang juga Ketua Penaja Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah Tawau berkata, beliau juga kini sedang usaha mewujudkan aktiviti ekonomi atau yang berhubung dengan keusahawanan bagi membimbing golongan belia menjana ekonomi sendiri.

Datuk Nizam Abu Bakar Titingan (tengah) mengabadikan gambar kenangan bersama ADUN Merotai Sarifuddin Hata (kiri) dan ADUN Sebatik Datuk Abdul Muis Picho, dalam majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di kediamannya di Wisma Keluarga Titingan Banyan Drive Tawau. Gambar SNT / Nasrawati Syarifuddin

“Kita harus memberi kesedaran kepada belia supaya lebih berdikari dan boleh berusaha untuk menjadi seorang yang berkebolehan menjadi seorang usahawan.

“Saya juga mahu golongan belia supaya dapat maju kehadapan dan memberi keuntungan ekonomi terhadap diri masing-masing tanpa bergantung dengan peluang pekerjaan yang disediakan pihak kerajaan,” katanya.

Terdahulu, seramai 5,000 tetamu hadir memeriahkan majlis rumah terbuka berkenaan.

Turut kelihatan hadir, ADUN Sebatik, Datuk Abdul Muis Picho, ADUN Merotai, Sarifuddin Hata dan ADUN Tanjung Batu, Datuk Hamisa Samat. – SabahNewsToday