Pilih Bahasa

Adun Api-Api serah bantuan kepada klinik kesihatan

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Api-Api, Datuk Christina Liew menyumbangkan dua kerusi roda untuk kegunaan pesakit yang mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Ibu dan Anak di Jalan Kebajikan di sini.

Beliau menyerahkan kemudahan tersebut kepada Pegawai Perubatan Dr Nurul Murni semasa lawatan ke klinik berkenaan yang diiringi Pemimpin Pembangunan Masyarakat Api-Api, Grace Lee.

Christina menyerahkan kerusi roda kepada Klinik Kesihatan Ibu dan Anak Jalan Kebajikan. Gambar SNT/Ihsan Pejabat Adun Api-Api

Sehubungan itu Christina meminta Unit Pemimpin Pembangunan Komuniti Api-Api (UPPM) untuk melihat keperluan bagi menyediakan sebanyak 50 kerusi baharu untuk klinik di bawah peruntukan Adun.

“Saya faham bahawa lebih daripada 100 warga emas, ibu, kanak-kanak dan bayi datang ke klinik ini setiap hari,” katanya.

Dalam pada itu beliau turut memeriksa keadaan sistem perparitan di sekitar klinik itu yang sebelum ini dilaporkan bertakung ekoran penutupan aliran keluar ke longkang utama.

“Saya gembira dan berpuas hati apabila masalah perparitan di klinik tersebut telah dibersihkan,” katanya. – SabahNewsToday