Pilih Bahasa

Adun Moyog tidak jelas kedudukan projek Empangan Papar

Oleh Alfred Petrus

KOTA KINABALU: Seperti Ahli Parlimen Penampang, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Moyog, Jenifer Lasimbang mengakui tidak mengetahui lokasi sebenar kawasan di mana projek empangan Papar akan dibina.

Jenifer menyatakan bahawa beliau tidak mengetahui secara jelas kerana belum melihat sendiri kenyataan rasmi, hitam putih, kertas kerja dan sebagainya yang diperlukan.

Jenifer (kanan) melawat pameran lukisan tersebut. Gambar SNT/Alfred Petrus

Namun, beliau mahu membawakan suara rakyat berkenaan rancangan kerajaan dalam pembinaan empangan tersebut.

Katanya beliau sudah beberapa kali mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan Ahli Parlimen Penampang, Datuk Darell Leiking serta Ketua Adat dan Ketua-ketua Kampung di Penampang dan Papar.

“Sedia maklum, sebelum ini saya memang secara peribadinya membantah projek empangan Kaiduan, tetapi sebagai Wakil Rakyat dan kerajaan baharu, saya perlu membawa suara rakyat.

“Pandangan peribadi saya sudah tidak penting lagi, kerana sekarang ini saya mewakili rakyat. Oleh itu, banyak sesi perbincangan telah kami adakan bersama Ketua-ketua Adat dan Ketua-ketua Kampung.

“Saya perlu duduk, mendengar dan berbincang bersama-sama mereka termasuklah kampung terjauh dalam kawasan Moyog, Kampung Pongobonon, Terian serta semua tempat-tempat yang diwar-warkan akan mendapat kesan daripada empangan Papar sekiranya ia dibina,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Pameran Lukisan Kanak-kanak Malaysia dan Jepun 2019, di Perpustakaan Negeri Cawangan Tanjung Aru, hari ini.

Dalam pada itu, Jenifer yang juga Pembantu Menteri Pelajaran dan Inovasi menjelaskan beliau masih lagi menunggu antara beberapa perkara atau keterangan yang dibawa oleh Ketua-ketua Kampung seperti kebimbangan rakyat.

Beliau menyatakan bahawa Ketua-ketua Adat dan Ketua-ketua Kampung merayu kepadanya untuk meminta Kementerian Pembangunan Infrastruktur memberikan seterusnya membuat dialog untuk mengetahui lebih lanjut lagi projek tersebut sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.

“Sememangnya, banyak suara atau pandangan secara lisan, tetapi saya memberikan nasihat kepada penduduk mahupun Ketua Kampung untuk menyatakan suara mereka secara bertulis atau formal.

“Sudah pasti ini adalah satu usaha untuk mendapatkan suara-suara rakyat berkenaan pembinaan empangan Papar dan kita berikan mereka platform untuk melakukannya,” jelasnya.
-SabahNewsToday