Pilih Bahasa

ADUN Nabawan sambut baik usaha kerajaan naik taraf kemudahan di Sapulut

PENSIANGAN, 15 Jan (Bernama) — Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nabawan, Datuk Bobbey Suan menyambut baik usaha kerajaan untuk menaik taraf beberapa kemudahan di sekitar daerah ini untuk manfaat rakyat setempat.

Katanya,kemudahan seperti tapak tamu Sinsingon, pam air di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sapulut dan jalan-jalan raya sangat perlu dinaik taraf untuk keselesaan masyarakat di kawasan berkenaan.

Datuk Bobbey Suan. Gambar Fail SNT

“Sebagai wakil rakyat di kawasan berkenaan saya sangat mengalu-alukan kelulusan peruntukan RM550,000 yang diumumkan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal untuk menaik taraf Tamu Singsingon dan membaiki pam air SMK Sapulut ketika melawat di sini baru-baru ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata rakyat kawasan luar bandar khususnya kawasan Sapulut, Nabawan, dan Pensiangan amat memerlukan perhatian dan pembelaan daripada kerajaan.

“Oleh itu kita berharap beberapa jalan yang telah dikenal pasti untuk dinaik taraf di daerah Pensiangan ini dapat dilaksanakan secapat mungkin dan saya meminta penduduk bersabar kerana peruntukan untuk menaik taraf jalan berkenaan adalah daripada kerajaan pusat,” katanya.

Ketika membuat lawatan di Sapulut baru-baru ini, selain merasmikan Pesta Ilau Panawari Mohd Shafie turut berkesempatan meninjau beberapa jalan raya yang rosak dan perlu dinaik taraf.

Susulan lawatan itu, Mohd Shafie telah mengarahkan Pegawai Pembangunan Sabah Datuk Ruji Ubi untuk menyenaraikan projek menaik taraf jalan berkenaan berkenaan di bawah projek Kerajaan Persekutuan.

— BERNAMA