Pilih Bahasa

ADUN Tanjong Papat cadang tubuh jawatankuasa pemandu pulihkan ekonomi Sandakan

SANDAKAN, 7 Feb (Bernama) — Anggota Dewan Undangan Negeri Tanjong Papat Datuk Frankie Poon Ming Fung akan mencadangkan kepada kerajaan negeri bagi penubuhan sebuah jawatankuasa pemandu untuk memulihkan ekonomi Sandakan.

Beliau berkata jawatankuasa tersebut akan dianggotai antara lain oleh anggota Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) dan anggota Parlimen Pakatan Harapan serta anggota dewan undangan negeri di kawasan MPS.

Datuk Frankie Poon. Gambar Fail SNT

“Semua orang tahu bahawa ekonomi yang sihat penting untuk semua.

“Jika anda menyelesaikan masalah akibat memelesetan ekonomi, maka anda boleh menyelesaikan masalah rakyat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Perkhidmatan Masyarakat Tanjong Papat di sini hari ini.

Menurut Poon, yang juga Menteri Belia dan Sukan Sabah, usaha menangani masalah ekonomi Sandakan juga memerlukan penambahbaikan perkhidmatan dan kemudahan yang terdapat di daerah itu termasuk perkara-perkara yang menyentuh keselamatan.

Sementara itu, anggota Parlimen Sandakan, Datuk Stephen Wong Tien Fatt, yang juga Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, mengalu-alukan cadangan itu dan berharap jawatankuasa berkenaan dapat ditubuhkan tidak lama lagi.

Beliau berkata setiap kawasan di daerah itu mungkin menghadapi masalah yang sama dan perbincangan antara wakil rakyat setiap kawasan dan pihak berkuasa tempatan boleh menghasilkan idea bagi penyelesaian terbaik yang memberi manfaat kepada rakyat.

Anggota Dewan Undangan Negeri Elopura, Calvin Chong turut menyambut baik idea itu sebagai cara untuk meningkatkan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

— BERNAMA