Pilih Bahasa

Agensi berkaitan diseru adakan kolaborasi promosi keselamatan jalan raya

Oleh Alfred Petrus

KOTA KINABALU: Agensi-agensi berkaitan diseru untuk terus mengadakan kolaborasi dengan agensi lain, sekolah mahupun komuniti dalam mempromosikan keselamatan jalan raya.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata program seumpama itu sangat bermanfaat kepada pelajar dan sesiapa sahaja untuk jangka masa panjang.

Joisin memalu gong sebanyak tiga kali bagi menyempurnakan gimik perasmian program tersebut. Gambar SNT/Alfred Petrus

Katanya isu keselamatan jalan raya tidak boleh diambil mudah kerana sering kali melibatkan kerugian dan kesan yang memudaratkan.

“Kesedaran keselamatan jalan raya merupakan usaha semua pihak dan tanggungjawab semua

“Elemen Pendidikan, Kejuruteraan dan Penguatkuasaan adalah elemen utama dalam usaha penjagaan keselamatan jalan raya di seluruh negara.

“Saya juga difahamkan bahawa Modul Pendidikan Keselamatan Jalan Raya (PKJR) melalui Mata Pelajaran Bahasa Melayu telah diperkenalkan kepada pelajar-pelajar Tahun Satu sehingga Tingkatan Tiga melalui kerjasama pintar Kementerian Pengangkutan Malaysia dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Keselamatan Jalan Raya Dengan Kerjasama Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Sabah, di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pekan Telipok, hari ini.

Teks ucapannya disampaikan oleh Setiausaha Politik Kementerian Perdagangan dan Perindustrian (MTI), Joisin Romut.

Joisin (dua kanan) memakaikan topi kaledar kepada salah seorang pelajar SMK Pekan Telipok. Gambar SNT/Alfred Petrus

Madius yang juga Menteri MTI berkata seperti yang diwar-warkan, 80 peratus kemalangan dalam negara berpunca daripada sikap pengguna.

Menurutnya kebanyakan kemalangan yang melibatkan kematian dan kecederaan parah itu bukan berlaku di jalan-jalan rosak, tetapi di jalan lurus dan tidak bermasalah.

“Bagaimanapun, kebanyakan jalan raya di Sabah bukanlah jalan raya yang terbaik, malah saya difahamkan bahawa antara faktor peningkatan statistik kemalangan pada 2018 kepada 18,001 berbanding 17,724 pada 2017 adalah disebabkan kerja-kerja naik taraf dan penyelenggaraan jalan di samping faktor muka bumi kita sendiri.

“Jadi, saya amat bersetuju supaya program-program advokasi keselamatan jalan raya ini menekankan masalah sikap penggunaan jalan raya selain mengamalkan langkah perlindungan terutamanya penggunaan tali pinggang kaledar serta topi kaledar yang selamat,” jelasnya. -SabahNewsToday