Pilih Bahasa

Agensi dan pemandu pelancong perlu ada kemahiran CPR

Oleh Alfred Petrus

KOTA KINABALU: Pengetahuan dan kemahiran bantuan pernafasan (CPR) terhadap agensi serta pemandu pelancong adalah penting bagi memastikan keselamatan pelancong terjamin.

Oleh itu, Pengerusi Persatuan Ejen-ejen Pelancongan Dan Pengembaraan Malaysia (Matta) Sabah Lawrence Chin berkata mereka berkerjasama dengan hospital swasta Gleneagles untuk memberi kursus CPR kepada pemandu pelancong supaya mereka mempunyai pengetahuan yang mampu menyelamatkan nyawa pelancong sekiranya berlaku kes kecemasan.

Lawrence (tengah) dan Noel (dua kanan) bersalaman selepas bertukar dokumen MoU, sambil disaksikan oleh Presiden Matta Datuk KL Tan (dua kiri) dan Ahmad (kiri). Gambar SNT/Alfred Petrus

“Sudah pasti, pemain industri pelancongan menjadi barisan hadapan pelancong-pelancong yang datang ke negeri ini.

“Pada masa kini, bukan semua pemain industri pelancongan mempunyai kemahiran melakukan CPR.

“Namun, dengan fasiliti dan latihan CPR, mereka boleh membantu atau menyelamatkan nyawa pelancong-pelancong terutamanya apabila melibatkan kes-kes di lokasi pelancongan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Gleneagles Kota Kinabalu dan Matta, di Gleneagles Kota Kinabalu, hari ini.

MoU berkenaan adalah untuk memberikan latihan CPR kepada agensi pelancongan terutamanya pemandu pelancong di Sabah secara percuma.

Ketua Pegawai Eksekutif Gleneagles Kota Kinabalu, Noel Cheah berkata MoU berkenaan bertujuan melengkapkan kakitangan barisan hadapan industri pelancongan tempatan dengan kemahiran menyelamatkan nyawa sekiranya berlaku serangan jantung secara tiba-tiba.

“Kita mempunyai banyak pusat peranginan terutamanya pulau dan resort.

“Pelancong yang datang ke sini tidak semuanya pandai berenang dan ini salah satu cabaran terhadap pemain industri pelancongan.

“Dengan adanya latihan CPR ini membolehkan mereka memberikan respon awal atau membuat bantu mula terhadap pelancong yang mengalami serangan jantung, tercekik, lemas dan sebagainya,” jelasnya.

Tambahnya latihan berkenaan akan bermula pada bulan ini (Jun) yang mana terdapat tiga sesi komulatif sehingga akhir tahun.

Jelasnya setiap sesi latihan berkenaan akan melibatkan seramai 30 orang pemain industri pelancongan tempatan dan akan diteruskan sehingga tahun hadapan.

“Kita tahu, ejen pelancongan ini ramai, namun apa yang kita mahukan adalah kualiti latihan berkenaan.

“Dengan latihan ini jugalah mampu membantu meningkatkan kedatangan pelancong ke negeri ini.

“Ini kerana, pelancong sudah pasti akan mengutamakan keselamatan mereka sebelum datang ke suatu tempat pelancongan. Dengan perkhidmatan keselamatan yang diberikan oleh agensi pelancongan ini mampu menarik pelancong,” katanya.

Sementara itu, Pakar Perunding Kardiologi Gleneagles Kota Kinabalu Dr Ahmad Ashraf Z. Anwar berkata melalui CPR mampu memulihkan separa darah ke otak dan jantung untuk melambatkan kematian kerosakan tisu dan meningkatkan peluang tanpa kerosakan otak yang kekal.

“Serangan jantung berlaku apabila jantung berhenti dan tidak dapat mengepam darah ke otak atau organ-organ penting.

“Sembilan puluh peratus mereka yang mengalami serangan jantung di luar hospital tidak dapat diselamatkan,” tambahnya. -SabahNewsToday