Pilih Bahasa

Agensi kerajaan Sabah diminta laksana program, kurangkan kebergantungan dana kerajaan

Mohd Shafie Apdal. – Gambar SNT/Ihsan Jabatan Penerangan

KOTA KINABALU, 4 Okt — Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal meminta agar agensi kerajaan yang masih menerima geran daripada kerajaan negeri melaksanakan sesuatu program bagi mengurangkan kebergantungan dana kerajaan sehingga mencapai tahap berdikari.

Beliau berkata perakara itu adalah antara hala tuju yang perlu dilaksanakan oleh agensi kerajaan negeri bagi meningkatkan prestasi dari masa ke semasa.

“Badan Berkanun yang mempunyai potensi komersial juga disarankan mencari pendekatan baharu untuk meletakkan nilai dan harga terhadap perkhidmatan yang diberikan serta membangunkan perniagaan teras yang mampu menjana pendapatan bagi membiayai aktiviti sosio-ekonomi .

“Agensi-agensi Kerajaan juga perlu meneroka potensi kerjasama strategik antara agensi dan mengelakkan saling bersaing dan menceburi sektor yang saling bertindih,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya yang dibacakan Pembantu Menteri Kewangan Sabah, Kenny Chua pada Majlis Perasmian Kursus Ahli Lembaga Pengarah Badan Berkanun dan Agensi Kerajaan Sabah, di sini, hari ini.

Mohd Shafie yang juga Menteri Kewangan Sabah berkata sudah tiba masanya untuk semua agensi kerajaan negeri melihat potensi yang berada di luar, khususnya di negeri atau negara jiran.

“Misalnya Agensi Kerajaan perlu melihat dan memikirkan potensi yang boleh diraih berikutan cadangan pemindahan ibu kota Indonesia daripada Jakarta ke Kalimantan,” tambahnya.

Sementara itu, Mohd Shafie turut menekankan kepentingan menjaga aspek integriti dalam kalangan ahli lembaga pengarah.

“Sebuah organisasi yang besar dan sekukuh mana pun akan jatuh sekiranya peneraju organisasi berkenaan tidak amanah. Oleh itu, saya amat menekankan supaya setiap Ahli Lembaga sentiasa menjunjung tinggi integriti.

“Setiap Ahli Lembaga hendaklah menyedari tentang tanggungjawab fidusiari kepada Kerajaan Sabah, iaitu pemegang kepentingan dalam Agensi-agensi Kerajaan. Oleh itu dalam melakasanakan tugas dan tanggungjawab sebagai pengarah, Ahli-ahli Lembaga perlu berlaku jujur, amanah dan mendahulukan kepentingan organisasi,” tegasnya.

— BERNAMA