Pilih Bahasa

Agong berangkat ke majlis bacaan Yasin di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu

KOTA KINABALU, 7 Mac (Bernama) — Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat ke majlis bacaan Yasin, tahlil dan tazkirah di Masjid Bandaraya di sini, malam ini.

Turut berangkat ke majlis berkenaan ialah Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar.

Gambar Bernama

Keberangkatan baginda berdua ke majlis itu pada 6.15 petang diiringi oleh Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin dan isteri Toh Puan Norlidah R.M Jasni.

Turut hadir Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan isteri Datin Seri Shuryani Shuaib.

Majlis berkenaan dimulakan dengan solat maghrib diikuti bacaan yasin dan tahlil yang dipimpin oleh Imam Masjid Bandaraya Ustaz Suhaidi Kuanting disusuli bacaan doa oleh Mufti Sabah Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar yang turut menyampaikan tazkirah.

Majlis diteruskan dengan solat isyak yang turut disertai kira-kira 3,000 jemaah.

Selepas majlis berkenaan, baginda berdua meluangkan masa beramah mesra dengan para jemaah selain berkenan melawat kios pameran Pusat Pendidikan Al-Quran Anak-Anak Istimewa masjid itu.

Majlis tersebut bersempena lawatan dua hari baginda berdua ke Sabah, yang merupakan lawatan pertama baginda berdua ke negeri itu, sejak Sultan Abdullah mengangkat sumpah sebagai Yang di-Pertuan Agong pada 31 Jan lepas.

— BERNAMA