Pilih Bahasa

Agong beri sumbangan kepada mangsa tragedi kebakaran di Kampung Tanjung Batu Otentik

Oleh Nasrawati Syarifuddin

TAWAU: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, berkenan berangkat ke Majlis Penyerahan Sumbangan kepada mangsa tragedi kebakaran di Kampung Tanjung Batu, Otentik, hari ini.

Turut mengiringi keberangkatan baginda ke majlis bermula pukul 10.10 pagi itu ialah Yang DiPertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Yang DiPertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin mendengar taklimat tragedi kebakaran yang disampaikan oleh Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Kamarulzaman Malik Abdullah. Gambar SNT / Ihsan Media ADUN Balung

Sejurus tiba di lokasi majlis penyerahan yang diadakan di Masjid Mukarramah Tanjung Batu Keramat, Baginda mencemar duli mendengar taklimat kejadian kebakaran yang disampaikan oleh Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Kamarulzaman Malik Abdullah.

Pada majlis itu, baginda bertitah bahawa kehadiran baginda ke daerah ini bagi merasai sendiri kesusahan yang dihadapi mangsa sekaligus menyampaikan sumbangan kepada mereka.

“Apabila saya baca berita berkenaan kebakaran ini, hati saya sudah rasa terpanggil untuk hadir ke kampung ini.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, berkenan menyampaikan sumbangan kepada mangsa kebakaran di Kampung Tanjung Batu, Otentik. Gambar SNT / Ihsan Media ADUN Balung

“Saya datang sini bukan nak pancing undi … namun saya mahu merasai sendiri bagaimana kesusahan dan keperitan yang dilalui mangsa kebakaran.

“Saya menganggap ini sebagai satu rahmat daripada Allah S.W.T kerana dapat berkumpul pada hari ini bagi mendengar dan merasai serta membantu sedikit sebanyak meringankan kesengsaraan mangsa yang tinggal di sini,” titah baginda.

Baginda turut menzahirkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada penyumbang bantuan mangsa kebakaran yang kini melebihi 100 penyumbang termasuk kerajaan negeri, kerajaan pusat, badan bukan kerajaan (NGO), dan orang perseorangan.

“Ini adalah satu rahmat daripada Allah S.W.T bagi memberi ingatan kepada kita semua yang terlibat supaya bersabar dan mempelajari musibah yang berlaku.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, bertitah dalam Majlis Penyerahan Sumbangan kepada mangsa kebakaran di Kampung Tanjung Batu Otentik. Gambar SNT / Ihsan Media ADUN Balung

“Saya dengar dan perhatikan tadi rumah-rumah yang dibina di sini boleh mendatangkan bahaya kerana dibina terlalu dekat antara satu sama lain dan dibina berhampiran sungai.

“Peranan yang dilakukan pihak bomba juga harus dihargai dan menyelamatkan rumah daripada berlakunya kebakaran yang besar dan kita bersyukur tidak ada kemalangan jiwa berlaku,” titah baginda lagi.

Sebelum mengakhiri lawatan, baginda turut berkenan melawat ke lokasi kebakaran yang memusnahkan 74 rumah dan membabitkan 507 mangsa yang berlaku pada 26 Ogos lalu – SabahNewsToday