Pilih Bahasa

Agong Solat Jumaat di Masjid Negeri Sabah

Oleh Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Yang di-Pertuan Agong Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat menunaikan Solat Fardhu Jumaat di Masjid Negeri, di sini, semalam.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (tengah) menunaikan Solat Fardhu Jumaat di Masjid Negeri Sabah sebelum berangkat pulang ke Kuala Lumpur, hari ini. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Turut mengiringi keberangkatan Baginda ialah Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan beberapa ahli kabinet negeri, pegawai kerajaan serta ahli jawatankuasa Masjid Negeri Sabah.

Baginda yang berbaju batik dan bersongkok seterusnya masuk ke dalam ruang utama solat dan melakukan solat sunat sebelum menghayati Khutbah Jumaat.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan bersalaman dengan rakyat sebaik selesai menunaikan solat fardhu Jumaat di Masjid Negeri sebelum berangkat pulang ke Kuala Lumpur, hari ini. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Khutbah bertajuk “Al-Quran Dihayati, Ummah Dirahmati” disampaikan oleh Imam Besar Masjid Negeri Sabah, Ustaz Suhaidi Hj Kuanting.

Seramai 5,000 orang menunaikan Solat Fardhu Jumaat yang juga diimamkan oleh Suhaidi.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah melambaikan tangan sebelum bergerak ke Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK) di Masjid Negeri, hari ini. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Selesai solat, Seri Paduka Baginda berkenan bersalaman dan beramah mesra dengan jemaah sebelum berangkat ke Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK) untuk balik ke Kuala Lumpur.

Lawatan tidak rasmi Baginda selama sehari ke Negeri Dibawah Bayu ini adalah atas jemputan menghadiri perkahwinan anak kepada Ketua Menteri Sabah yang berlangsung malam semalam di sebuah hotel terkemuka di sini. -SabahNewsToday