Pilih Bahasa

Aguinaldo Mendes Veiga dan Ahmet Atayev sarung jersi Tambadau Sabah

Oleh Chris Maskilone

KOTA KINABALU: Tambadau Sabah mendapat dua pemain import baharu dengan kemasukan bekas penyerang kebangsaan Angola, Aguinaldo Mendes Veiga dan Ahmet Atayev dari Turkmenistan.

Kedua-dua pemain telah menjalani ujian bersama pasukan Sabah sejak minggu lalu sebelum mereka menandatangani kontrak untuk bermain sehingga akhir musim ini.

Peter (dua kiri) bercakap kepada Mendes (empat kiri) sementara Ayatev (tiga kiri) mendengar. Gambar SNT/Chris Maskilone

Mendes, 30 dan Atayev, 29 mengisi kekosongan slot import selepas pemergian Luka Milunovic dan Luiz Carlos Junior.

Pemain pinjaman, Milunovic meninggalkan Sabah setelah dipanggil balik pasukannya Melaka United manakala Junior dilepaskan oleh Safa setelah mencapai persetujuan bersama pada Ahad lalu.

Pemangku Presiden Safa Datuk Peter Anthony yang ditemui selepas menyerahkan jersi pasukan kepada Mendes dan Atayev di Stadium Likas semalam percaya mereka dapat membantu skuad Tambadau meneruskan momentum kemenangan musim ini.

Peter menyampaikan jersi no. 10 kepada Aguinaldo Mendes Veiga semalam. Gambar SNT/Chris Maskilone

Beliau turut mengesahkan pemain serangan dari Serbia Rodoljub Paunovic yang tamat kontrak pada bulan depan akan terus bermain untuk Sabah.

Dalam pada itu, Peter berkata Ketua Jurulatih Jelius Ating telah membuat beberapa rombakan dalam organisasi skuad Tambadau Sabah untuk menjadikan pasukan pada tahap paling optima.

Mendes yang akan memakai jersi no. 10 dan Atayev memakai jersi no. 7 dijangka dapat diturunkan dalam kesebelasan Tambadau menentang UKM FC di tempat lawan pada 17 Mei.

Pemain dari Turkmenistan, Ahmet Atayev menerima jersi no. 7 dari Peter. Gambar SNT/Chris Maskilone

Mendes yang berketinggian 1.86m pernah beraksi untuk Ubon UMT dalam Liga Premier Thailand musim lalu manakala kelab terakhirnya ialah Poli Lasi FC dalam saingan Liga Super Romania (2019).

Sementara itu, Atayev pula yang berketinggian 1.85m beraksi untuk kelab Arema dan Persela dalam liga utama Indonesia pada 2017 hingga 2019.-SabahNewsToday