Pilih Bahasa

Ahli Bersatu Sabah perlu kekal positif dan bertenang

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Khairul Firdaus Akbarkhan. – Gambar SNT/Ihsan Bersatu Sabah

KOTA KINABALU: Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Khairul Firdaus Akbarkhan meminta semua ahli parti itu untuk kekal positif dan bertenang agar kesepakatan dapat diteruskan tanpa diselitkan unsur negatif yang mampu memecah-belahkan parti.

Khairul menjelaskan ahli Bersatu perlu bertenang dan jangan melakukan apa-apa tindakan yang akhirnya hanya akan mengeruhkan dan memburukkan lagi keadaan.

“Kita yakin bahawa Presiden parti cukup bijak dan mahir untuk membuat keputusan dan memikirkan langkah apa yang wajar diambil kelak demi kebaikan Bersatu.

“Kita tidak boleh mula berfikir yang bukan-bukan dan membuat sangkaan kita sendiri kerana apa yang berlaku ini bukanlah sesuatu perkara yang dapat kita jangkakan dan langkah terbaik untuk kita sebagai ahli  adalah terus kekal sebagai ahli yang menyokong perjuangan teras parti,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau turut menasihati ahli Bersatu agar menolak sebarang perpecahan kerana tindakan itu hanya akan membawa masalah yang lebih buruk di kemudian hari.

Jelas Khairul lagi, beliau akan sentiasa menyokong usaha atasan pemimpin parti Bersatu.

“Apa yang pasti, perjuangan parti yang dibawa oleh atasan parti akan terus kita sokong sepenuhnya,” katanya lagi.

Sehubungan itu beliau menyeru agar semua ahli parti terus melaksanakan peranan masing-masing dalam memastikan Bersatu menjadi parti pilihan rakyat. 

Menurutnya, sudah tiba masanya Bersatu memainkan peranan penting dalam memastikan agenda pembangunan di Sabah dapat dilaksanakan dengan jayanya di bawah kepimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin. – SabahNewsToday