Pilih Bahasa

Ahli farmasi bukan sekadar individu beri ubat

Oleh Mohd Nazllie Zainul

Dr Christina (empat dari kanan) menerima cenderamata daripada Lin Weiqi (tiga dari kanan) sempena majlis perasmian Persidangan Farmasi Negeri Sabah 2019 di Kota Kinabalu. – Gambar SNT/Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: Ahli farmasi diminta sentiasa mengadaptasi serta melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan berkaitan seiring kehendak masyarakat yang memerlukan perkhidmatan kesihatan berkualiti.

Pengarah Jabatan Kesihatan Sabah, Datuk Dr Christina Rundi berkata ilmu atau kemahiran farmasi terkini bertepatan cabaran dihadapi profesion berkenaan yang semakin berkembang mengeikut peredaran.

“Sebelum ini, pekerjaan seumpama ini dilihat hanya untuk memberikan ubat kepada pesakit sahaja namun pandangan terbabit sudah berubah sejajar kemajuan teknologi dan perkembangan industri farmasi.

“Ia sekaligus menunjukkan peranan ahli farmasi sebagai individu penting dalam pasukan perawatan pesakit,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Persidangan Farmasi Negeri Sabah 2019 di sini  hari ini.

Chistina (duduk tiga dari kanan) bersama peserta Persidangan Farmasi Negeri Sabah 2019 di Kota Kinabalu. -Gambar SNT/Mohd Nazllie Zainul

Turut hadir Timbalan Pengarah Kesihatan Sabah (Farmasi), Mohd Zamri Baharudin; Presiden Sabah Pharmaceutical Society, Jemima Ho dan Pengerusi Persidangan Farmasi Negeri Sabah 2019, Lin Weiqi.

Memasuki penganjuran kali ke 32, persidangan berkenaan disertai 204 peserta terdiri dari ahli farmasi seluruh negeri.

Dalam pada itu, Christina berkata selain perkhidmatan farmasi konvensional, terdapat pelbagai bidang farmasi yang boleh diterokai oleh ahli farmasi pada hari ini termasuk farmasi komuniti, farmasi industri pengilangan, pembuatan, industri pembungkusan serta pembekalan dan pengedaran ubat secara borong.

Menurutnya, bidang penyelidikan, akademik, farmasi penguatkuasaan dan kawalan selia juga  antara bidang lain yang kian popular dalam bidang pekerjaan semasa.

Bagaimanapun, beliau menyatakan ramai graduan memilih untuk bekerja di farmasi komuniti atau bergelar usahawan dengan membuka farmasi komuniti selain menjadi pengedar ubat-ubatan. – SabahNews Today