Pilih Bahasa

Ahli keluarga terima panggilan daripada penculik

Oleh Junaidi Ladjana

Omar Mammah. – Gambar Fail SNT

KOTA KINABALU: Ahli keluarga seorang daripada mangsa culik di perairan Tambisan Lahad Datu menerima panggilan dari kumpulan penculik yang meminta wang tebusan.

Bagaimanapun Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah berkata setakat ini pihaknya masih belum didedahkan jumlah wang tebusan yang dituntut oleh kumpulan penculik wang untuk tebusan (KFR).

“Keluarga mangsa warga Indonesia itu dihubungi kumpulan penculik dua hari selepas ketiga-tiga mangsa diculik kumpulan berkenaan.

“Setakat ini polis masih belum didedahkan jumlah wang tebusan yang dituntut oleh kumpulan penculik berkenaan,” katanya pada sidang media di Ibu pejabat Kontijen (IPK) Sabah, Kepayan di sini, hari ini.

Tambah beliau lagi, kumpulan penculik turut cuba menghubungi majikan mangsa dipercayai untuk meminta bayaran wang tebusan.

“Kita akan berhubung dengan pihak berkuasa negara jiran bagi membincangkan lebih lanjut berhubung perkara berkenaan,” katanya.

Pada 23 September lalu, tiga nelayan warga Indonesia, Maharudin Lunani, 48, dan anaknya, Muhammad Farhan, 27, serta anak buahnya, Samiun Maneu, 27, diculik sekumpulan tujuh lelaki bersenjata menggunakan bot pam ketika menangkap udang di perairan Tambisan, Lahad Datu.

Pasukan keselamatan negara ini mengenal pasti kumpulan KFR yang menculik ketiga-tiga mangsa membawa mereka ke perairan Pulau Tawi-Tawi, selatan Filipina. – SabahNewsToday