Pilih Bahasa

Ahli Kopeks terima dividen sembilan peratus

Oleh Alfred Petrus

KOTA KINABALU: Koperasi Pekerja-pekerja Kerajaan Sabah Berhad (Kopeks) mengumumkan  dividen sembilan peratus bagi tahun 2017 untuk ahlinya.

Pengerusi Kopeks Datuk Maznah Abdul Ghani berkata pembayaran dividen sembilan peratus itu menunjukkan kenaikan sebanyak tiga peratus berbanding tahun sebelumnya.

Pengerusi Kopeks Datuk Maznah Abdul Ghani (tiga dari kiri) bergambar dengan ahli Kopeks pada Majlis Pelancaran Agihan Dividen 2017 dan Majlis Dialog Bersama Anggota, di Dewan Serbaguna Jabatan Kerja Raya (JKR), Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Dividen tahun 2017 diagihkan berdasarkan satu peratus atas yuran dan lapan peratus atas saham mereka.

Tambahnya jumlah agihan dividen tersebut juga meningkat daripada RM521,263 pada tahun sebelumnya kepada RM628,379 untuk tahun 2017.

Jelasnya peningkatan agihan dividen tersebut juga adalah berikutan Kopeks mencatatkan untung berterusan sejak 2008 hingga 2018.

Datuk Maznah Abdul Ghani. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Pembahagian dividen ini berlaku setiap tahun sejak 2009 lagi kepada ahli Kopeks.

“Sebenarnya kita mampu membayar 15 peratus dividen seperti pada 2015, namun pihak berkuasa Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) meminta sembilan peratus kali ini untuk menjana modal perniagaan.

“Sejak 2009 hingga 2016, Kopeks telah membayar dividen tunai kepada anggota berjumlah RM6.9 juta,” katanya.

Ahli Kopeks beratur untuk mendapatkan agihan dividen pada Majlis Pelancaran Agihan Dividen 2017 dan Majlis Dialog Bersama Anggota, di Dewan Serbaguna Jabatan Kerja Raya (JKR), Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Agihan Dividen 2017 dan Majlis Dialog Bersama Anggota, di Dewan Serbaguna Jabatan Kerja Raya (JKR), hari ini.

Katanya dalam tempoh 2009 hingga 2018, Kopeks telah mengeluarkan pinjaman keseluruhan sebanyak RM207.72 juta dengan mencatat keuntungan terkumpul berjumlah RM27.179 juta.

Menurutnya pada masa kini, akaun Kopeks mencatat untung positif iaitu tiada lagi rugi terkumpul RM24 juta yang dialami koperasi sebelum 2005.

“Kopeks berjaya menutup kerugian terkumpul koperasi yang dialami sejumlah RM24 juta dan mencatat positif pada 31 Disember 2018.

“Sebelum 2004, kerugian Kopeks melebihi RM11 juta, kesan kerugian daripada pelaburan Sabah Times Sdn Bhd dan hartanah yang gagal,” jelasnya. -SabahNewsToday