Pilih Bahasa

Ahli perniagaan digesa buat kenyataan maaf terbuka kepada ATM

Oleh Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: Persatuan Veteran Angkatan Tentera Tidak Berpencen Malaysia (PVATTBM) menggesa ahli perniagaan, Koon Yew Yin membuat permohonan maaf terkepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berikutan kenyataan mengaibkan pasukan keselamatan berkenaan, semalam.

Naib Presiden ll PVATTBM Pusat merangkap Yang Pertua PVATTBM Sabah, Datuk Zaman Bayang berkata artikel yang dimuatnaik menerusi portal Airtimes.My namun sudah dipadamkan itu secara jelas mampu menjatuhkan kredibiliti anggota ATM sekaligus mmbri imej buruk dalam kalangan orang awam di negeri terbabit mahupun seluruh negara.

Zaman (lima dari kanan) bersama beberapa ahli PVATTBM Sabah selepas membuat laporan polis di Balai Polis Tanjung Aru di Kota Kinabalu. -Gambar SNT/ Mohd Nazllie Zainul

“Individu ini menyatakan anggota tentara yang telah diketahui hanya makan dan tidur sahaja. Majoriti mereka tidak pernah melepaskan tembakan melainkan menembak papan sasaran. Sepatutnya mereka digunakan untuk menggantikan kerja asing yang diupah di ladang Felda.

“Sebagai seorang bekas tentera, pastinya kita berasa terhina dengan kenyataan ini kerana anggota ATM sentiasa bersiapsiaga dalam menghadapi segala ancaman musuh walau dalam apa sahaja situasi.

“Oleh itu, kita mahu beliau membuat permohonan maaf secara terbuka agar dapat membersihkan nama ATM serta memperbetulkan tanggapan orang awam ke atas badan beruniform ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas membuat laporan polis berkaitan kenyataan ahli perniagaan itu di Balai Polis Tanjung Aru, dekat sini, hari ini.

Zaman menunjukkan laporan polis di buat PVATTBM Sabah berkaitan kenyataan mengaibkan seorang ahli perniagaan ke atas ATM. -Gambar SNT/ Mohd Nazllie Zainul

Zaman berkata laporan sama turut dibuat serentak oleh persatuan berkenaan di seluruh negara agar memastikan tindakan dapat diambil ke atas individu terlibat.

Beliau berkata tujuan laporan itu dibuat adalah bagi memohon pihak polis melakukan siasatan terperinci mengenai petikan artikel itu selain kenyataan lain sekiranya ada dikeluarkan oleh individu berlainan.

“Kita memandang serius perkara ini dan walaupun artikel itu dipadam namun ia sempat dimuatnaik semula orang lain yang membacanya,” katanya.

Sementara itu, Zaman berharap orang awam menghargai pengorbanan anggota ATM samaada yang masih bertugas atau sudah bersara selain tidak memandang rendah kredibiliti badan beruniform itu. -SabahNews Today