Pilih Bahasa

Ahli PKR diminta bertenang, buat penilaian bijak isu video seks: Saifuddin

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Saifuddin Nasution. – Gambar SNT/Sitti Nor Azizah Talata

KOTA KINABALU: Kepimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) disemua peringkat diingatkan agar mengambil pendirian bijak berhubung isu penyebaran video seks yang didakwa mirip seorang menteri Kabinet Pusat baru-baru ini. 

Beberapa pihak mendakwa video berkenaan yang dikatakan mirip Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang tular di media sosial dipercayai didalangi oleh pemimpin di dalam PKR sendiri bagi membunuh karier Azmin.

Sehubungan itu Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata kesemua pemimpin dan ahli PKR usah tergesa-gesa dan gopoh dalam membuat pertimbangan terhadap isu yang berlaku pada ketika ini.

“Sebentar tadi telah berlangsung pertemuan tertutup Presiden Keadilan (Anwar) dengan pimpinan Keadilan Sabah dan beliau mengambil peluang untuk jelaskan perkembangan tentang isu semasa selain meminta pimpinan parti menjaga disiplin.

“Selaku Setiausaha Agung parti saya juga turut ditanya tentang isu bagaimana data-data parti misalnya yang disebut Azmin iaitu nombor telefon dan alamat pemimpin parti di semua peringkat (diperolehi),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri PKR Sabah 2019 di Magellan Sutera Kota Kinabalu di sini hari ini.

Anwar (tengah) diiringi Christina bersalaman dengan para hadirin semasa tiba di Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri PKR Sabah. – Gambar SNT/Ihsan PKR Sabah

Majlis itu yang dihoskan oleh Ketua Majlis Pimpinan Negeri PKR Sabah, Datuk Christina Liew turut dihadiri Timbalan Ketua Menteri, Datuk Jaujan Sambakong; Naib Presiden PKR yang juga Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar dan Timbalan Menteri Industri Utama (Ketua Penerangan PKR), Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Hadir sama ialah Menteri Pembangunan Luar Bandar (Naib Presiden Upko), Datuk Ewon Benedict dan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah, Datuk Hajiji Noor.

Mengulas lanjut mengenai isu tersebut Saifuddin berkata pemerolehan data seperti nombor telefon bimbit atau alamat calon-calon oleh pihak lain bukan sesuatu yang sukar apatahlagi semasa pemilihan parti PKR yang lalu dalam menggerakkan jentera masing-masing.

Bagaimanapun beliau menegaskan bahawa (dakwaan) penglibatan atau adanya langkah tersusun daripada Ibu pejabat parti itu tidak berlaku sama sekali.

“Kita tetap dengan pendirian menolak politik jijik dan kita meminta supaya Azmin bersabar dan tabah hadapi ujian ini. 

“Pihak masing-masing telah telah membuat laporan polis jadi lebih baik kita serahkan kepada pihak berkuasa untuk meneruskan siasatan supaya ada kejelasan dalam soal itu,” katanya. – SabahNewsToday