Pilih Bahasa

Aidiladha bawa semangat kebersamaan – Frankie Poon

Frankie Poon. – Gambar fail SNT

SANDAKAN, 11 Ogos (Bernama) — Sambutan Hari Raya Aidiladha di negara ini membawa semangat kebersamaan dalam kalangan penduduknya, kata Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Datuk Frankie Poon hari ini.

Beliau berkata di sebalik kekayaan Sabah, sambutan ini menuntut agar kalangan yang berada menghulur tangan dan membantu mereka yang memerlukan.

“Aidiladha mengingatkan kita supaya melakukan pengorbanan untuk membantu mereka yang memerlukan… masih ada golongan yang ketinggalan daripada arus pembangunan.

“Oleh itu, kerajaan akan terus membantu mereka dan kami juga memberi jaminan bahawa kita boleh mencapai kemajuan di Sabah sekiranya kita terus berganding bahu,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan lapan ekor lembu korban di sini.

Poon memberi jaminan kepada umat Islam, terutamanya dalam Dewan Undangan Negeri Tanjung Papat yang diwakilinya, bahawa sungguhpun terdapat perubahan dalam kepimpinan negeri, kerajaan tidak akan mengabaikan keperluan mereka dalam melaksanakan amalan yang dituntut agama.

“Di pihak saya pula, saya akan sentiasa turun padang dan cuba mendengar keluhan rakyat, belajar serta melaksanakan penyelesaiannya demi manfaat rakyat,” katanya.

Mengenai sumbangannya bagi  Aidiladha, beliau berkata lembu korban itu diagihkan kepada Masjid Daerah Sandakan; Masjid Jamek Sandakan; Masjid Nur Islam, Pulau Berhala; Surau Seri Pantai Berhala; dan Surau Al-Furqan, Kampung Sim Sim.

Beliau berkata lebih 600 isi rumah akan mendapat manfaat daripada sumbangan itu.

— BERNAMA