Pilih Bahasa

Aidilfitri wadah eratkan lagi perpaduan berbilang kaum Sabah: Ketua Menteri

Oleh Chris Maskilone

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menyeru rakyat agar dapat mengeratkan lagi perpaduan berbagai kaum di negeri ini.

Sempena ketibaan Aidilfitri mulia yang penuh dengan kegembiraan, beliau mengajak rakyat memperkukuhkan ukhuwah dan persaudaraan sesama semua.

Mohd Shafie semasa menghadiri salah satu majlis iftar semasa bulan ramadan lalu. Gambar SNT/Ihsan JKM

“Ketepikanlah segala perbezaan, nikmati keharmonian sedia ada dengan budaya berlapang dada, saling berkunjungan, saling maaf memaafi di samping menikmati juadah yang pelbagai,” katanya.

Dalam perutusan Hari Raya Aidilfitri 2019, Ketua Menteri berkata umat Islam di negara ini berhadapan dengan cabaran keselamatan dan keamanan dengan wujudnya fahaman eksterim, ajaran salah dan gerakan terorisme.

“Justeru itu umat Islam perlu lebih peka dan bijak dalam menyaring maklumat serta mendalami tafsiran yang murni dan benar.

“Sungguhpun negara kita Malaysia berada dalam kedudukan ketiga paling aman di rantau Asia, namun untuk mengekalkan keadaan tersebut bukanlah semudah yang disangka,” katanya.

Oleh itu, katanya dalam kesempatan ini penghargaan dan sanjungan seharusnya diberikan kepada semua perajurit serta anggota keselamatan negara yang telah menabur bakti dan berkorban siang dan malam untuk memastikan keselamatan dan keamanan negara sentiasa terjamin.

Mohd Shafie turut meminta para individu ataupun segelintir kumpulan yang ingin melihat rakyat berpecahbelah dengan menabur fitnah dan spekulasi agar berhenti.

“Pada hemat saya, perbuatan sedemikian amat merugikan negeri dan rakyat yang sudah berabad lamanya menjalani kehidupan yang harmoni.

“Apalah ertinya hidup dalam kemewahan, sedangkan kita masih lagi terpenjara dalam ketakutan,” ujarnya.

Beliau turut meminta sifat toleran dalam memahami budaya setempat diteruskan.

“Kita raikan setiap perayaan yang ada, dengan penuh hikmah dan berlapang dada,” katanya.

Dalam menyambut kedatangan Syawal, Mohd Shafie berkata kepimpinan kerajaan negeri sentiasa peka dengan satu lagi cabaran iaitu ketidaktentuan ekonomi global.

“Selaku kepimpinan negeri, kita mahu memastikan faedah pembangunan dan kemakmuran ekonomi dapat dinikmati bersama dan secara saksama,” katanya.

Beliau memberi keyakinan bahawa kepimpinan negeri sentiasa berusaha mencari pelbagai solusi, serta meneroka bidang-bidang yang boleh membantu rakyat dalam menghadapi kemelut ini. 

“Kita terus komited menjalankan promosi produk-produk tempatan yang boleh merancakkan lagi kemasukan pelancong ke negeri ini.

“Seperti yang dimaklumi, sektor perkhidmatan termasuk pelancongan dan perkhidmatan kerajaan kekal sebagai penyumbang utama.

‘Kita juga masih berusaha agar sektor pertanian dapat kita perkasakan dengan pelaksanaan Dasar Pertanian Sabah Ketiga dengan penekanan kepada pemodenan industri hiliran asas tani, peningkatan produktiviti pengeluaran hasil tanaman dan perikanan,” katanya.

Mohd Shafie juga berharap kakitangan awam kerajaan negeri akan dapat berjimat sebanyak sedikit dengan adanya bantuan khas Aidilfitri sebanyak RM500 kepada semua pejawat awam negeri.

“Akhir kalam, saya dengan tawadhuk dan rendah hati menyusun sepuluh jari memohon ampun dan maaf bagi pihak diri, keluarga dan kepimpinan negeri jika ada sebarang kesalahan.

“Hendaknya jangan di simpan di dalam hati sehingga menjadi dendam yang tak kunjung padam,” katanya.-SabahNewsToday