Pilih Bahasa

Air Busan perkenal laluan udara terbaharu, Daegu dan Busan ke Sabah

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Christina (tiga dari kiri) menerima cenderahati daripada Jung Sang selepas majlis pengumuman penerbangan terbaharu dari Korea Selatan ke Kota Kinabalu di Pejabat Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah di Wisma Tun Fuad. – Gambar SNT/Ihsan KepKas

KOTA KINABALU: Syarikat penerbangan Air Busan akan melancarkan dua lagi penerbangan terus dari Korea Selatan ke Kota Kinabalu, Sabah pada minggu depan.

Penerbangan dari Daegu akan bermula pada 15 Mei ini dan ia menandakan persinggahan sulung Air Busan ke Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) manakala penerbangan dari Busan pula dijadualkan pada 22 Mei.

Menariknya pelancong dari Daegu-Kota Kinabalu boleh mengikuti penerbangan dari bandar raya itu yang bakal beroperasi sebanyak empat kali seminggu dan setiap hari bagi penerbangan dari Busan- Kota Kinabalu.

Dengan adanya dua penerbangan tambahan tersebut menjadikan kesemuanya sebanyak 48 buah penerbangan secara terus beroperasi dari Korea Selatan ke KKIA ketika ini.

Timblaan Ketua Menteri, Datuk Christina Liew berkata kerajaan negeri mengucapkan tahniah kepada Air Busan kerana membuka dua lagi laluan dari Korea Selatan dalam masa kurang daripada dua minggu.

“Ia menunjukkan bahawa mereka mempunyai keyakinan yang kuat terhadap destinasi dan produk pelancongan di Sabah.

“Saya berharap inisiatif itu akan membawa lebih ramai pelancong ke pantai timur Sabah iaitu Tawau selain Sandakan apatahlagi setelah Kerajaan Persekutuan bersetuju meluluskan peruntukan menaiktaraf lapangan terbang Sandakan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika mengumumkan penerbangan terbaharu dari Korea Selatan ke Kota Kinabalu di Pejabat Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah di Wisma Tun Fuad di sini hari ini.

Beliau berkata sehingga Mac lalu, Sabah mencatatkan lebih daripada sejuta pelancong dan jumlah ketibaan itu meningkat 9.1 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

“Sabah menerima kehadiran pelancong dari Korea Selatan seramai 82,072 orang dan ia merupakan sumber pasaran kedua terbesar bagi ketibaan antarabangsa ke Sabah,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Air Busan, Jung Sang Bong berkata pihaknya berbangga memilih Sabah selaku destinasi penerbangan terbaharu syarikat itu.

Jelas beliau lagi kebanyakan pelancong dari negara itu memilih untuk melancong ke Sabah kerana tertarik dengan tempat-tempat menarik terutama pantainya yang menawan.

“Daripada tinjauan yang dilakukan, pelancong Korea gemarkan Sabah kerana pantainya yang indah dan mempunyai pemandangan senja yang dikategorikan antara tercantik di dunia,” katanya. – SabahNewsToday