Pilih Bahasa

Ajal di kebun serai

Oleh Junaidi Ladjana

KOTA BELUD: Kehilangan seorang wanita warga emas akhirnya terjawab selepas mangsa ditemui mati di kebun serai miliknya di Kampung Morrolobou, Timbang, di sini, hari ini.

Mangsa Narimah Moot, 62, ditemui terbaring tidak sedarkan diri oleh jirannya ketika melalui kawasan kebunnya jam 8.30 pagi.

Polis memeriksa keadaan wanita warga emas yang ditemui mati di kebun serai miliknya di Kampung Morrolobou, Timbang, Kota Belud. Gambar SNT/Ihsan Polis

Berikutan itu, jiran mangsa memaklumkan kepada ketua kampung sebelum mereka menghubungi polis untuk bantuan segera.

Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Mohd Zaidi Abdullah berkata, siasatan lanjut mendapati mayat wanita ditemui di kebun serai iaitu kira-kira 50 meter dari rumah mangsa.

“Temubual dengan anak mangsa memberitahu kali terakhir dia melihat ibunya pada Jumaat lalu semasa menghantar air mineral ke rumah mangsa.

“Mangsa tinggal sendirian dirumahnya dan rutin harian mangsa adalah menanam serai dan akan bertemu dengan pembeli atau pemborong setiap hari Selasa untuk urus niaga,” katanya ketika dihubungi.

Polis menjalankan pemeriksaan di lokasi mangsa ditemui mati di Kampung Morrolobou, Timbang, Kota Belud. Gambar SNT/Ihsan Polis

Mohd Zaidi berkata, anak mangsa memberitahu ibunya juga tidak hadir untuk temujanji doktor bagi rawatan penyakit darah tingginya kerana sibuk mengusahakan kebun serainya.

Katanya, mangsa juga disahkan pernah menghidap penyakit Tibi sebelum ini dan perlu mendapat rawatan di Hospital Kota Belud.

“Ketika ditemui mangsa lengkap berpakaian lengkap. Mayat mangsa sudah dihantar ke unit Forensik Hospital Kota Belud untuk tindakan selanjutnya.

“Proses bedah siasat akan dijalankan esok dan kes diklasifikasikan sebagai kes kematian mengejut,” katanya. -SabahNewsToday