Pilih Bahasa

Ajal ketika memotong

Oleh Junaidi Ladjana

Penunggang motosikal maut selepas bertembung dengan kenderaan Land Cruiser di Tuaran. – Gambar SNT/Ihsan media sosial

TUARAN: Seorang lelaki maut apabila motosikal ditungangnya bertembung dengan sebuah kenderaan di Kilometer 53.3 Jalan Telipok, Tenghilan, Kampung Pangkalan dekat sini hari ini.

Dalam nahas pada pukul 10.15 pagi itu, mangsa berusia 32 tahun yang menunggang motosikal jenis SM Sport maut di tempat kejadian akibat parah pada badan dan kepala.

Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata siasatan awal mendapati mangsa dalam perjalanan dari arah Kota Kinabalu menuju ke Kota Belud.

 “Kejadian berlaku apabila mangsa memotong beberapa kenderaan lalu masuk ke lorong bertentangan kemudian bertembung dengan sebuah kenderaan yang datang dari arah Tenghilan.

“Akibat pertembungan itu, penunggang parah di bahagian badan dan kepala,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Hamizi berkata pemandu kenderaan jenis Toyota Land Cruiser lelaki berusia 66 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Hasil siasatan mendapati mangsa terbabit menunggang motosikal secara bahaya iaitu memotong beberapa kenderaan lalu masuk ke laluan bertentangan sehingga menyebabkan kemalangan,” katanya.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – SabahNewsToday