Pilih Bahasa

AKADEMI SUKAN SIDMA BAKAL TAWAR SIJIL DAN DIPLOMA DALAM BIDANG SUKAN

Oleh Alfred Petrus

Yusof (depan dua kanan) bergambar bersama kakitangan Sidma pada sesi pertemuan tersebut. Gambar SNT/Alfred Petrus

KOTA KINABALU: Akademi Sukan Sidma yang merupakan salah satu sayap Kolej SIDMA Sabah bakal menawarkan program sijil profesional dalam bidang sukan dan juga diploma pengurusan sukan untuk atlet dan bekas ahli sukan negeri melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi, tahun ini.

Pengerusi Kolej Sidma Dr Mornie Kambrie berkata program yang bakal dilancarkan menjelang hujung Januari itu adalah untuk memberi peluang kepada atlet mendapat kelayakan pendidikan sebagai persediaan ke fasa baru kerjaya ataupun menceburi bidang baru dalam arena sukan.

“Program ini dirangka agar para atlit dapat melanjutkan pengajian semasa sedang berkhidmat sebagai aset negara dengan keadaan yang terurus di mana pihak akademi akan bertanggungjawab menjaga jadual latihan sukan serta jadual belajar atlet yang terlibat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas sesi pertemuan dengan Menteri Pelajaran dan Invonasi Datuk Dr Yusof Yacob di pejabatnya baru-baru ini.

Pada sesi pertemuan tersebut juga, Pengerusi Kolej Sidma Dr Mornie Kambrie berkata usaha itu diambil berikutan kesedaran nasib atlet yang sukar mendapat pekerjaan yang baik selepas tidak lagi aktif bersukan.

Katanya perkara tersebut kerap kali dapat dibaca di media massa yang memaparkan nasib ahli sukan di negara ini yang berdepan kesukaran hidup selepas habis karier sukan mereka.

“Sukar dinafikan, ramai atlet berdepan kesukaran mendapat pekerjaan selepas tidak lagi aktif di dalam sukan yang diceburi kerana tidak mempunyai kelayakan pendidikan.

“Oleh itu, kami berharap program ini akan dapat memberi peluang kedua kepada masa depan atlet dan ahli sukan di negeri ini,” katanya.

Mornie berkata program itu juga akan menambah pengetahuan dan kepakaran ahli sukan tersebut sebelum ‘diturunkan’ kepada komuniti untuk tujuan pembangunan sukan bermula dari peringkat akar umbi.

Tambahnya program yang turut mendapat kerjasama daripada Malaysian Association for Sport Management (MASMA) dan Asian Association for Sport Management itu dijangka akan memberi manfaat kepada ribuan atlet dan bekas atlet.

Sementara itu Menteri Pelajaran dan Inovnasi Datuk Dr Yusof Yacob berkata inisiatif program berkenaan amat dialu-alukan kerana ia bukan saja memberi peluang kedua kepada atlet tetapi juga selaras dengan usaha kerajaan mewujudkan komuniti yang berdaya saing.

Yusof berkata sekiranya atlet atau bekas ahli sukan mempunyai kelulusan yang baik, maka hidup selepas karier sukan juga lebih terjamin sekaligus memperkasakan hasrat kerajaan dalam mengukuhkan pembangunan ekonomi negeri. -SabahNewsToday