Pilih Bahasa

Akibat terlelap ketika memandu, dua wanita parah

Oleh Nasrawati Syarifuddin

TAWAU: Dua wanita termasuk seorang warga emas parah selepas kenderaan yang dinaiki terbabit kemalangan di Kampung Jagung, Jalan Merotai di sini, semalam.

Dalam kejadian pukul 3.15 petang itu, mangsa Saima Said, 55, yang menaiki kenderaan jenis Proton Persona mengalami retak tulang tangan kiri dan cedera di bahagian tulang pinggul manakala seorang jururawat berusia 33 tahun yang menaiki kenderaan jenis Proton Saga, retak tulang belakang.

Jururawat yang memandu kenderaan jenis Proton Saga dipercayai memandu dalam keadaan keletihan sehingga terlelap dan menyebabkan kenderaannya hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan sebelum melanggar kenderaan mangsa. Gambar SNT /Ihsan IPD Tawau

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku ketika jururawat terbabit terlelap sebelum kenderaan hilang kawalan lalu bertembung dengan kenderaan yang dinaiki mangsa.

“Kejadian berlaku ketika mangsa bersama pemandu berusia 64 dalam perjalanan dari arah Kalabakan ke Bandar Tawau.

“Ketika berada di tempat kejadian, secara tiba-tiba Proton Saga yang dipandu jururawat terbabit masuk ke laluan bertentangan dan melanggar kenderaan yang dinaiki mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Keadaan kenderaan selepas pertembungaan tersebut. Gambar SNT/Ihsan IPD Tawau

Fadil berkata akibat kemalangan itu, kedua-dua kenderaan mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan.

“Siasatan awal mendapati, jururawat terbabit memandu dalam keadaan keletihan hingga terlelap dan mengakibatkan kenderaan yang dipandu hilang kawalan.

“Mangsa retak tulang tangan kiri dan cedera di bahagian tulang pinggul manakala pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan. Jururawat terbabit retak tulang belakang dan kedua-dua mereka dihantar ke Hospital Tawau untuk rawatan lanjut,”katanya.

Beliau berkata, kes disiasat dibawah
Seksyen 43(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – SabahNewsToday