Pilih Bahasa

Aksi ‘zig zag’ rempit ditahan

Oleh Junaidi Ladjana

LABUAN: Seorang lelaki yang menunggang motosikal secara berbahaya dengan mempamerkan aksi ‘zig zag’ ditahan dalam Ops Samseng Jalanan di Jalan Pohon Batu, di sini semalam.

Malah operasi yang dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Labuan jam 1.40 pagi itu, lelaki berusia 20 tahun turut melakukan ubah suai pada ekzos.

Polis menyita motosikal yang ditungggang suspek dengan mempamerkan aksi ‘wheelie’ di Jalan Kinabenua labuan. -Gambar SNT / Ihsan Polis

Ketua Polis Daerah Labuan Superintendan Muhamad Farid Ahmad, ketika operasi dijalankan yang diketuai Asisten Superintendan Sammy Newton mengesan sekumpulan penunggang motosikal sedang berlumba dengan melakukan aksi ‘zig zag’ dan membongkok badan atas motosikal.

“Polis berjaya menahan seorang penunggang ketika cuba melarikan diri dan berlaku pergelutan.

“Suspek berusia 19 tahun ditahan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan kenderaan disita mengikut Seksyen 64(1) akta sama,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Sementara itu, dalam kes berasingan, Muhamad Farid berkata, pihaknya menahan seorang lelaki berusia 24 tahun kerana melakukan aksi ‘wheelie’ di Jalan Kinabenua, jam 1.45 petang kelmarin.

“Polis turut menyita motosikal suspek jenis Honda EX5 untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) APJ 1987 dan Seksyen 64(1) akta sama.

“Polis akan terus menjalankan operasi dari semasa ke semasa dan mengharapkan kerjasama semua masyarakat supaya sentiasa mematuhi undang-undang demi keselamatan bersama,” katanya. -SabahNewsToday