Pilih Bahasa

Akta Hasutan akan dimansuhkan – Liew Vui Keong

Liew Vui Keong. – Gambar fail SNT

PUTRAJAYA, 10 Mei (Bernama) — Akta Hasutan 1948 dijangka dimansuhkan tahun ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong. 

Beliau berkata kerajaan telah membuat keputusan pada mesyuarat Kabinet untuk memansuhkan akta itu dan kini sedang melibat pelbagai faktor bagi melaksanakannya.

“Kami mahu memastikan bahawa tidak semestinya semua kenyataan yang dibuat boleh menghasut kerana kami ingin memastikan kenyataan tertentu mendapat beberapa bentuk kebebasan…tetapi bukan kami membenarkan semua orang untuk membuat kenyataan yang mencemarkan nama raja dan pemimpin kita khususnya,” katanya.

Bercakap kepada pemberita pada sidang akhbar baru-baru ini bersempena ulang tahun pertama kerajaan Pakatan Harapan di sini, Liew berkata selepas pemansuhan akta itu, satu formula baharu akan diperkenalkan untuk menggantikannya.

“Bagaimanapun, kami dalam Pakatan Harapan sebenarnya tidak keberatan sekiranya orang mahu mengkritik kami. Kritikan membina bagus dalam kerajaan kerana dari situ kita dapat maju dan berkembang,” katanya.

Selain itu, Liew berkata kerajaan juga sedang melihat kemungkinan memperkenalkan undang-undang menangani gejala mengintai atau menghendap kerana perbuatan itu telah menjadi trend.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata Jawatankuasa Kabinet Khas yang ditubuhkan untuk mengkaji pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) akan mengeluarkan laporan lengkap antara Jun dan Julai tahun ini.

Menyelami semangat Malaysia Baharu, kerajaan Pakatan Harapan komited mempertahankan MA63 yang mana kedudukan Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi yang sama dengan Semenanjung akan dipulihkan seperti yang termaktub dalam perjanjian.

— BERNAMA